Tipu pelaburan emas: 69 laporan babit kerugian RM48.5 juta

PDRM mengesahkan menahan Siti Hajartul Haini Abd Hamid bersama empat individu lain yang dipercayai terlibat dalam penipuan jualan emas membabitkan kerugian jutaan ringgit.
PDRM mengesahkan menahan Siti Hajartul Haini Abd Hamid bersama empat individu lain yang dipercayai terlibat dalam penipuan jualan emas membabitkan kerugian jutaan ringgit.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan menahan Siti Hajartul Haini Abd Hamid bersama empat individu lain yang dipercayai terlibat dalam penipuan jualan emas membabitkan kerugian jutaan ringgit.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, kesemua yang ditahan mempunyai kaitan dengan kegiatan penipuan pelaburan emas 'Pa Jewellery' dan 'Paddy Jewellery'

Beliau berkata, Siti Hajartul telah ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas, Pulau Pinang dan empat lagi individu lain yang disyaki mempunyai kaitan dengan kegiatan penipuan tersebut.

"Kesemua empat individu terbabit yang terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita berusia 29 hingga 38 tahun telah ditahan secara berasingan di beberapa lokasi berbeza sekitar Kedah dan Kuala Lumpur pada Isnin dan Selasa.

"Polis turut merampas enam buah telefon bimbit pelbagai jenama dan satu pasport Malaysia," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Ramli berkata, kesemua yang ditahan telah direman sehingga Jumaat bagi membantu siasatan.

Sehingga kini, menurut beliau, sejumlah 69 laporan polis telah diterima berhubung penipuan pelaburan tersebut.

Tambahnya lagi, nilai kerugian keseluruhan dianggarkan berjumlah RM48.5 juta.

Artikel Berkaitan:

Kata beliau, siasatan mendedahkan skim pelaburan tersebut menawarkan lima pakej berbeza dengan pulangan berdasarkan harga emas semasa.

"Pelabur yang berminat diarahkan untuk membuat bayaran ke akaun syarikat Paddy Jewellery dan Paddy Legacy.

"Bagaimanapun pelabur tidak menerima pulangan seperti mana yang dijanjikan," ujarnya.

Ramli berkata, siasatan dilakukan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Menurut beliau, mana-mana individu yang mungkin telah menyertai skim pelaburan itu diminta tampil membuat laporan polis.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!