Bank digital mampu cepatkan agihan dana PMKS - GXBank
BANK digital berupaya mempercepatkan agihan dana kepada usahawan bagi membolehkan golongan itu berkembang dengan pantas serta menyumbang secara signifikan kepada pembangunan ekonomi negara.
Ketua Pegawai Eksekutif GXBank, Pei-Si Lai berpandangan, pelaksanaan skim pembiayaan cekap menjadi faktor penting dalam memperkasakan perusahaan mikro, kecil, dan sederhana (PMKS) yang menjadi tulang belakang kepada pertumbuhan ekonomi negara.
"Melalui skim pembiayaan yang cekap, bank digital mampu mempercepatkan pengagihan dana kepada usahawan, membolehkan mereka berkembang dan menyumbang kepada pembangunan negara.
"Selain itu, GXBank merancang untuk melancarkan produk dan perkhidmatan kewangan baharu, khusus untuk segmen PMKS dalam waktu terdekat dengan fokus memberi akses pembiayaan lebih meluas kepada golongan tersebut," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.
Dalam pada itu beliau memaklumkan, pihaknya menyambut baik pengumuman Belanjawan 2025 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim minggu lalu yang menekankan kepada pertumbuhan inklusif dan mampan.
Oleh yang demikian menurutnya, bank digital pertama Malaysia itu komited untuk menyokong matlamat negara dalam mewujudkan pembangunan, terutamanya golongan kurang mendapat perhatian dan PMKS.
"GXBank turut memuji langkah kerajaan meneruskan bantuan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bagi menangani tekanan kos sara hidup.
"Melalui kerjasama strategik dengan kerajaan, kami berharap dapat memainkan peranan utama dalam memastikan bantuan dapat disampaikan secara lebih cepat dan efisien, selain meneruskan usaha merapatkan jurang digital menerusi penyediaan pakej subsidi peranti dan data," ujarnya.
Pei-Si menambah, pihaknya turut mengiktiraf peruntukan RM64.1 bilion untuk sektor pendidikan menerusi program Impian GIGih.
Menurut beliau, aspirasi tersebut bertujuan meningkatkan literasi kewangan dan mobiliti sosial antara generasi bagi membantu rakyat Malaysia yang kurang bernasib baik memutuskan kitaran kemiskinan.
"Sebagai bank digital yang memulakan operasi pada September 2023, GXBank terus berusaha untuk mentransformasikan industri perbankan dengan menawarkan penyelesaian kewangan inovatif, di samping membantu rakyat Malaysia mencapai kestabilan serta matlamat kewangan mereka," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!