Peniaga dikompaun RM200, jual air mineral RM10

KPDN mengenakan kompaun RM200 ke atas pemilik sebuah kedai makan di Lukut kerana mengerjakan caj RM10 untuk sebotol air mineral bersaiz kecil.
KPDN mengenakan kompaun RM200 ke atas pemilik sebuah kedai makan di Lukut kerana mengerjakan caj RM10 untuk sebotol air mineral bersaiz kecil.
A
A
A

PORT DICKSON - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sembilan mengenakan kompaun RM200 ke atas pemilik sebuah kedai makan di Lukut, di sini selepas tular mengenakan caj RM10 untuk sebotol air mineral bersaiz kecil.

Pengarah KPDN Negeri Sembilan, Muhammad Zahir Mazlan berkata, kompaun serta-merta telah dikenakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011.

"KPDN menerima maklumat awam berkaitan air mineral bersaiz 1.25 liter yang dijual dengan harga RM10.

"Berikutan aduan tersebut, sepasukan anggota penguat kuasa KPDN Cawangan Port Dickson telah menjalankan pemeriksaan terhadap premis tersebut pada jam 11 pagi Rabu," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Menurutnya, operasi diketuai Penolong Pegawai Penguat Kuasa, Mohd Zaihiri Tambi Adam mendapati premis berkenaan telah gagal meletakkan tanda harga pada air mineral yang dipamer untuk jualan.

Tambahnya, kesalahan ini telah melanggar Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penandaan Harga Bagi Barangan dan Caj Perkhidmatan) 2020.

"Peniaga dinasihatkan supaya meletakkan tanda harga dengan jelas pada setiap barangan yang dijual untuk mengelakkan kekeliruan sekali gus memudahkan pengguna membuat pembelian secara berhemah," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan seorang pengguna terkejut apabila perlu membayar RM10 bagi sebotol air mineral bersaiz kecil di sebuah kedai makan di Port Dickson.

Artikel Berkaitan:

Dia memaklumkan telah mempersoalkan mengenai harga itu kepada pemilik premis, namun alasan diberi harga air mineral berkenaan mahal kerana jenamanya.

"Assalamualaikum nak tanyalah...mineral water sebotol RM12...terkejut aku ni ha...cakap dengan owner, dekat kedai serbaneka tidak sampai RM10.

"Dia kata tidak mengapalah dia bagi RM10. Dia tak tahu harga staf dia beli. Staf dia kata air ini jenama baik punya. Aku ini kaki minum mineral, tiadalah harga sampai RM12 sebotol cik oi," tulisnya.

Di ruangan komen, wanita berkenaan turut memberitahu perkara terbabit hanya diketahui apabila dia mahu membayar keseluruhan bil sebaik selesai makan di situ.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!