PPIM gerakkan ‘Sukarelawan Yang Berkhidmat’ di semua DUN

Nadzim (tiga dari kiri) bersama-sama beberapa wakil NGO membentangkan Resolusi Task Force Rakyat Fasa 1 di Kuala Lumpur pada Rabu.
Nadzim (tiga dari kiri) bersama-sama beberapa wakil NGO membentangkan Resolusi Task Force Rakyat Fasa 1 di Kuala Lumpur pada Rabu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) memperkenalkan Sukarelawan Yang Berkhidmat (SYB) di semua Dewan Undangan Negeri (DUN) sebagai perantara antara rakyat dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Ketua aktivisnya, Datuk Nadzim Johan berkata, gerakan itu sebahagian daripada usaha bagi menjayakan Task Force Rakyat.

Menurutnya, individu yang dilantik itu akan turun padang untuk mendengar keluhan rakyat yang ingin disampaikan kepada ADUN.

“Alhamdulillah, sekarang kita telah melantik sekurang-kurangnya 100 SYB dan insya-ALLAH, kita akan tambah dari semasa ke semasa.

“Saya jangkakan PPIM akan melantik sekurang-kurangnya 600 SYB untuk menjalankan kerja-kerja berkhidmat untuk rakyat,” katanya ketika ditemui selepas sidang media Resolusi Task Force Rakyat Fasa 1 pada Rabu.

Nadzim
Nadzim

Sidang media tersebut turut dihadiri beberapa wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO), ahli akademik dan golongan profesional.

Pada September lalu, PPIM mengadakan satu Persidangan Meja Bulat Task Force Rakyat melibatkan lebih 200 NGO bagi membincangkan isu-isu rakyat yang kian meruncing.

Artikel Berkaitan:

Menerusi persidangan itu, sebanyak lima kluster diwujudkan antaranya ekonomi, keselamatan, agama, kesihatan dan perlembagaan.

Mengulas mengenai task force, Nadzim berkata, ia merupakan satu inisiatif penglibatan rakyat dalam membela nasib mereka sendiri.

Jelasnya, menerusi perbincangan itu pihak pertubuhan berjaya mengumpulkan isu-isu berkait kesejahteraan rakyat dan negara serta cadangan untuk menangani hal berkenaan.

“Pada ketika ini, nasib rakyat tidak terbela. Ia mungkin berlaku disebabkan oleh masalah sistem atau kelemahan mana-mana pihak.

“Kita wujudkan task force ini bagi tujuan memperkasakan rakyat untuk mereka membela nasib dan maruah diri sendiri,” ujarnya.

Pada masa sama, Nadzim memberitahu bahawa resolusi itu akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong (YDPA) dan Majlis Raja-Raja Melayu dalam tempoh masa terdekat untuk pertimbangan.

“Kami percaya tindakan segera dan tegas amat diperlukan untuk memastikan kesejahteraan rakyat serta kedaulatan negara terus terpelihara. Dengan kerjasama semua pihak, Malaysia akan terus maju sebagai sebuah negara berdaulat, adil dan makmur.

“Penuh harapan, kami memohon agar resolusi yang dirumuskan dalam persidangan ini dipertimbangkan dengan sebaiknya demi kebaikan rakyat dan negara,” kata Nadzim.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!