Insiden lima 'terperangkap' dalam gondola cuma latihan simulasi

Simulasi menyelamat penumpang Langkawi SkyCab yang 'terperangkap' dalam gondola pada Rabu.
Simulasi menyelamat penumpang Langkawi SkyCab yang 'terperangkap' dalam gondola pada Rabu.
A
A
A

LANGKAWI - Lima pengunjung Langkawi SkyCab berdepan detik cemas selepas 'terperangkap' dalam gondola di Gunung Machinchang di sini pada Rabu.

Bagaimanapun, situasi mencemaskan terbabit adalah sebahagian daripada Eksesais Mencari dan Menyelamat (SAREX) Panorama Langkawi Sdn Bhd (PLSB) 2024.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, eksesais terbabit dilaksana bagi memastikan kesiapsiagaan petugas dan agensi keselamatan ketika operasi kereta kabel.

Beliau memaklumkan, SAREX PLSB terbabit turut dilaksana bagi memastikan agensi terlibat mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Operasi terbabit melibatkan 159 anggota termasuklah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Hospital Sultanah Maliha, Langkawi.

"Ia turut melibatkan anggota Perkhidmatan Bomba dan Menyelamat Lapangan Terbang (AFRS) dan Panorama Langkawi Sdn Bhd sendiri," katanya selepas selesai eksesais terbabit pada Rabu.

Beliau menambah, simulasi bermula jam 9.35 pagi melibatkan senario polis menerima panggilan kecemasan MERS 999 melaporkan dua gondola terhenti secara tiba-tiba sebelum semua agensi digerakkan ke lokasi kejadian.

Menurutnya, latihan berkenaan menunjukkan kelima-lima mangsa berjaya diselamatkan pada ketinggian 50 meter (m) sebelum dua daripadanya dibawa menaiki helikopter jenis Agusta AW139 milik JBPM dan tiga lagi dibawa menaiki ambulans ke Hospital Sultanah Maliha.

Artikel Berkaitan:

Tambah Shariman, simulasi menyelamatkan penumpang terperangkap dalam gondola terbabit dilaksanakan semula selepas kali terakhir dibuat kira-kira lima tahun lepas bagi memastikan kesiapsiagaan petugas dan agensi berkaitan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!