Dua pelajar nyaris jadi mangsa culik van putih

Mangsa nyaris menjadi mangsa culik individu yang menggunakan van putih dengan nombor pendaftaran negara Thailand. Foto hiasan
Mangsa nyaris menjadi mangsa culik individu yang menggunakan van putih dengan nombor pendaftaran negara Thailand. Foto hiasan
A
A
A

GERIK - Dua pelajar perempuan nyaris menjadi mangsa culik individu yang menggunakan van putih dengan nombor pendaftaran negara Thailand dalam kejadian berhampiran tanah perkuburan Kampung Padang di sini.

Timbalan Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Zulkafli Sariaat berkata, laporan diterima daripada kedua-dua mangsa yang berusia 14 tahun di Ibu Pejabat Pols Daerah (IPD) Gerik pada Rabu.

Menurutnya, kejadian pertama sekitar jam 6.45 pagi, Isnin lalu ketika mangsa menunggang basikal ke sekolah.

"Sebuah van warna kelabu telah berhenti di hadapannya dan sebuah lagi van warna putih dengan nombor pendaftaran negara jiran menghimpit di bahagian kanan telah mengikuti sehingga sampai di jalan raya.

"Dalam kejadian itu, terdapat seorang wanita yang dikenali bertindak memanggil mangsa menyebabkan kedua-dua buah van tersebut terus beredar," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Tular mesej kumpulan sembang aplikasi WhatsApp berhubung kejadian cubaan culik dua pelajar sekolah di Gerik. Foto ihsan pembaca
Tular mesej kumpulan sembang aplikasi WhatsApp berhubung kejadian cubaan culik dua pelajar sekolah di Gerik. Foto ihsan pembaca

Menurut beliau, kejadian culik di lokasi sama turut membabitkan seorang lagi pelajar perempuan yang berjalan kaki pulang dari sekolah sekitar jam 3.20 petang pada Selasa.

"Mangsa dihimpit oleh sebuah van menggunakan nombor pendaftaran negara jiran sebelum dua lelaki memakai pelitup muka bertindak menarik beg sekolah dan mengheretnya hingga terjatuh.

Artikel Berkaitan:

"Mangsa kemudiannya telah diselamatkan oleh abang kandungnya yang tiba di lokasi kejadian dengan bertindak menendang salah seorang suspek.

"Kedua-dua suspek kemudian melarikan diri menaiki menggunakan van tersebut," katanya.

Zulkafli berkata, siasatan lanjut mengenai kedua-dua kejadian itu sedang dijalankan.

"Sebagai langkah proaktif, pihak polis telah menjalankan rondaan pencegahan jenayah di kawasan sekolah-sekolah, kampung-kampung dan kawasan lain yang berpotensi berlakunya kejadian jenayah.

"Usaha mengesan saksi-saksi dan suspek-suspek sedang giat dijalankan untuk siasatan lanjut dan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian tersebut diminta tampil bagi membantu siasatan," katanya.

Pada masa sama, beliau menasihatkan ibu bapa atau penjaga memberi perhatian terhadap keselamatan anak dengan menghantar dan mengambil mereka bagi mengelakkan berlakunya perkara yang tidak diingini.

Terdahulu tular mesej kumpulan sembang aplikasi WhatsApp berhubung kejadian cubaan culik dua pelajar sekolah dan gambar laporan yang dibuat mangsa.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!