Pelajar universiti didakwa perdaya 20 NGO, individu libat sumbangan RM200,000

Wakil Pertubuhan Kebajikan Seberang Perai, Pulau Pinang, Eng Hiap Boon (kanan) dan pengasas Cancer Survivors Malaysia (tengah), Zuraini Kamal menunjukkan salinan dokumen yang dipalsukan oleh pelajar tersebut pada sidang akhbar di Alor Setar pada Rabu.
Wakil Pertubuhan Kebajikan Seberang Perai, Pulau Pinang, Eng Hiap Boon (kanan) dan pengasas Cancer Survivors Malaysia (tengah), Zuraini Kamal menunjukkan salinan dokumen yang dipalsukan oleh pelajar tersebut pada sidang akhbar di Alor Setar pada Rabu.
A
A
A

ALOR SETAR - Seorang pelajar universiti di negeri ini didakwa memperdaya kira-kira 20 badan bukan kerajaan (NGO) termasuk individu membabitkan jumlah sumbangan hampir RM200,000 sejak dua tahun lalu.

Wakil Pertubuhan Kebajikan Seberang Perai, Pulau Pinang, Eng Hiap Boon berkata, selepas kisah penipuan individu berkenaan dilaporkan media, terdapat empat mangsa telah menghubunginya memaklumkan mereka turut ditipu pelajar berkenaan.

Beliau menggesa semua NGO ataupun pun individu yang pernah ditipu oleh individu tersebut agar tampil membuat laporan polis secepat mungkin.

"Saya sudah lama mendedahkan mengenai kegiatan licik pelajar ini menipu mangsa di seluruh negara.

"Kalau bercerita mengenai kisah sedih, dia boleh menangis pada bila-bila masa untuk meraih simpati.

"Setakat ini, dianggarkan lebih 20 NGO ditipu dan entah (mungkin) ramai lagi pihak perseorangan yang pernah ditipunya sebelum ini, setakat ini anggaran jumlah yang ditipu mencecah hampir RM200,000," katanya pada sidang akhbar di sini pada Rabu.

Tambah Hiap Boon, beliau menggesa semua NGO ataupun pun individu yang pernah ditipu oleh pelajar tersebut agar tampil membuat laporan polis secepat mungkin.

Menurutnya, pelajar itu juga melakukan penipuan membuat surat palsu dengan menggunakan kepala surat universiti tempat dia belajar bagi meyakinkan penderma untuk menderma sumbangan kepadanya.

Artikel Berkaitan:

"Ramai yang tidak mahu tampil membuat laporan polis sebelum ini terhadap individu ini kerana tidak ambil kisah atau malu hendak mengaku kerana ada antara individu ditipu mempunyai gelaran Tan Sri serta Datuk Seri.

"Namun dalam hal ini, kita perlu bertindak supaya penipuannya dapat dihentikan secepat mungkin," katanya.

Sementara itu, pengasas Cancer Survivors Malaysia (CSM), Zuraini Kamal berkata, beliau dimaklumkan terdapat mangsa kepada pelajar berusia 23 tahun itu perlu melalui sesi kaunseling selepas individu berkenaan tidak membayar semula duit yang dipinjam.

"Saya harap tindakan tegas akan diambil terhadap pelajar ini bagi menjadi pengajaran kepada semua pihak.

"Jika tidak, lebih ramai orang yang merasa bimbang atau ragu-ragu untuk menghulurkan bantuan selepas ini," katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan sama, polis telah menahan suspek pada jam 3 petang di rumahnya di sini pada Rabu.

Menurut Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintenden Rodzi Abu Hassan, pelajar itu akan dibawa ke Mahkamah Jitra pagi Khamis untuk mendapatkan perintah tahanan reman.

"Perintah tahanan tersebut adalah untuk melengkapkan siasatan di bawah Sekyen 420 Kanun Keseksaan," katanya semasa dihubungi pemberita.

Pada Selasa, Sinar Harian melaporkan seorang pelajar lelaki sebuah universiti di negeri ini dikesan menipu NGO iaitu CSM untuk mendapatkan dana kononnya bagi membiayai pengajiannya berjumlah RM5,000.

Pengerusi CSM, Zuraini Kamal berkata, susulan itu beliau telah membuat satu laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu pada Isnin untuk mengelakkan NGO lain turut menjadi mangsa.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!