Pengeluar iPhone hasilkan topeng muka
TAIPEI - Syarikat elektronik gergasi, Foxconn yang mengeluarkan beberapa produk terkenal di dunia termasuk iPhone mengambil langkah luar biasa apabila menukar bahagian pengeluarannya untuk menghasilkan topeng pembedahan.
Menurut laporan BBC, syarikat itu juga menolak untuk membuka semula barisan pengeluarannya yang biasanya menghasilkan barang elektronik selepas ditutup akibat koronavirus.
Wabak Wuhan yang menyerang China dan lebih 20 negara telah menyebabkan permintaan untuk topeng muka melonjak dan mengurangkan bekalan item itu di seluruh dunia.
Difahamkan, Foxconn berhasrat menghasilkan dua juta topeng muka sehari menjelang hujung bulan.
"Dalam perang menentang koronavirus, setiap saat sangat penting. Lebih cepat kita ambil langkah berjaga-jaga, lebih cepat kita boleh selamatkan nyawa dan lebih cepat kita dapat atasi wabak ini," kata syarikat itu dalam kenyataan di platform media sosial WeChat.
Menurut laporan BBC, Foxconn memulakan penghasilan topeng muka di kilang utamanya di Shenzhen dekat utara China.
"Topeng tersebut akan menjadi contoh pertama untuk melindungi pekerja daripada jangkitan. Ia bukan hanya tanggungjawab korporat Foxconn tetapi juga tanggungjawab sosial bersama.
"Apabila pengeluaran penuh bermula, kami akan mula menyediakan topeng muka kepada individu di luar syarikat," katanya.
Sejak mula dikesan di bandar Wuhan, China awal Disember lalu, angka kematian setakat ini mencecah 724 orang dan 34,889 kes disahkan termasuk di luar China. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!