'Kita dah cakap sejak dulu hutang PTPTN sukar dimansuhkan' - Akmal Saleh
SHAH ALAM - Isu pemansuhan hutang pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang tidak boleh dilaksanakan menjadi pendirian Barisan Nasional (BN) sejak gabungan itu menerajui kerajaan.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhammad Akmal Saleh berkata, pendirian tersebut telah dijelaskan sekian lama, namun ramai yang tidak percaya, malah mengutuk kerajaan pada waktu itu.
"Kita dah cakap lama sejak dari zaman BN (jadi) kerajaan dulu. Tetapi tak nak percaya, malah kutuk lagi kerajaan ketika itu dan berbakul Najib (Datuk Seri Najib Tun Razak) dimaki dan dihina," katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Rabu.
Sebelum ini Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud ketika sidang Dewan Rakyat pada Selasa dilapor berkata, pemansuhan hutang PTPTN sukar dilaksanakan kerana kerajaan ketika ini mempunyai komitmen kewangan yang begitu besar.
Ahli Parlimen Sepanggar itu menjelaskan, pada masa sama kerajaan perlu mengambil kira komitmen peminjam yang sudah membayar hutang berkenaan.
Malah menurutnya, isu pemansuhan PTPTN sudah lama dan semua parti politik pernah meletakkannya dalam manifesto parti masing-masing.
Sementara itu Muhammad Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu berpandangan, beberapa cadangan yang pernah dikemukakan ketika BN menerajui Kerajaan Persekutuan sebelum ini mungkin boleh dipertimbang untuk dilaksanakan.
"Antara cadangan semasa zaman BN dahulu (iaitu) beri percuma kepada peminjam yang mendapat keputusan cemerlang dan pengurangan kepada peminjam lain terutama dari keluarga kurang kemampuan boleh diteruskan," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!