Tiga beranak disyaki pengikut ajaran sesat The Ahmadi ditahan di Seremban
SEREMBAN - Tiga beranak disyaki pengikut ajaran sesat The Ahmadi Religion of Peace Light (AROPL) ditahan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Negeri Sembilan (JHEAINS) di sebuah rumah di Taman Bukit Ampangan di sini pada Rabu.
Dalam serbuan kira-kira jam 3 petang itu, pasukan penguatkuasaan JHEAINS turut merampas beberapa dokumen yang disyaki mempunyai kaitan dengan ajaran terbabit serta sebuah komputer tablet.
Ketua Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan JHEAINS, Ahmad Zaki Hamzah berkata, penahanan pasangan suami isteri dan anak perempuan mereka susulan terdapat maklumat cuba menyebarkan ajaran berkenaan.
"Lelaki itu berusia 60-an dan merupakan pesara kerajaan manakala isterinya berusia 50-an dan anak perempuannya pula berusia 20-an sedang menyambung pengajian di peringkat sarjana.
"Berdasarkan maklumat awam kita difahamkan mereka cuba sebarkan ajaran berkenaan dan dipercayai telah mengikutnya sejak setahun lalu," katanya ketika sidang akhbar di sini pada Rabu.
Menurutnya, ajaran atau fahaman ini adalah bertentangan dengan hukum syarak kerana antara yang dipercayai ialah kiblat umat Islam bukannya di Makkah tetapi di Jordan.
Tambahnya, mereka juga mempercayai al-Quran yang ada sekarang telah pun diubah dan diseleweng oleh Saidina Umar dan ajaran Nabi Muhammad SAW tidak lagi boleh diamalkan.
"Mereka juga mendakwa berpuasa bukannya pada bulan Ramadan tetapi pada bulan Disember selain tidak perlu menunaikan solat.
"Ajaran ini sebenarnya dipelopori oleh seorang lelaki dipercayai rakyat Malaysia di United Kingdom. Dia diberikan gelaran bishop dan sebarkan ajaran itu melalui media sosial," katanya.
Sehubungan itu katanya, kesemua mereka ditahan mengikut Seksyen 52 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 iaitu berkaitan dengan ajaran meragukan dan Seksyen 35 iaitu bersubahat melakukan perbuatan jenayah syariah.
Jelasnya, pihaknya bimbang ajaran itu yang pada awalnya cuba disebarkan kepada ahli keluarga, kini cuba disebarkan kepada masyarakat Islam.
"Namun siasatan lanjut masih dilakukan. Mereka juga dipercayai telah melakukan baiah atau angkat sumpah mengikut ajaran itu secara dalam talian.
"Setakat saya dimaklumkan ini adalah tangkapan pertama berkenaan ajaran ini di Negeri Sembilan dan pendakwaan terhadap mereka akan dibuat di Mahkamah Tinggi Syariah pada esok (Khamis)," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!