Seluk poket sendiri sebelum berbelanja

Usah dipegang konsep biar papa asal bergaya, tetapi amalkan langkah seluk poket sebelum berbelanja. Foto hiasan
Usah dipegang konsep biar papa asal bergaya, tetapi amalkan langkah seluk poket sebelum berbelanja. Foto hiasan
A
A
A

CERITA Belanjawan 2025 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat Jumaat lepas masih hangat menjadi bualan khalayak.

Bercampur baur perasaan bagi golongan yang mendapat imbuhan mengukir senyum, namun penetapan cukai baharu menggusarkan sebahagian yang lain.

Tetapi kerajaan juga perlukan wang untuk menguruskan negara, rakyat pula meneruskan kelangsungan hidup demi sesuap nasi.

Kenaikan gaji minimum sebanyak RM200 kepada RM1,700 sebulan pasti melegakan para pekerja sambil majikan sudah pening memikirkan kenaikan kos mereka.

Para peniaga pula sudah berkira-kira untuk menaikkan harga barangan keperluan asas termasuk makanan.

Bagai serba tidak kena, gaji tidak naik, ramai yang bising. Bila gaji naik bukan tidak bersyukur, tetapi ada pula pihak yang cuba ambil kesempatan.

Apa pun kembali kepada diri sendiri untuk menguruskan wang dengan bijak. Berbelanja ikut poket sendiri, bukan bermewah di luar kawalan.

Tidak terkecuali warga sukan negara yang mendapat peruntukan RM230 juta menerusi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) pimpinan Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh.

Artikel Berkaitan:

Peruntukan tersebut merupakan peningkatan sebanyak RM46 juta berbanding Belanjawan 2024 sebanyak RM184 juta.

“Kita sangat gembira kerana ada peningkatan (peruntukan), namun berapakah peningkatan itu akan diteliti semula memandangkan RM230 juta secara umum untuk pembangunan sukan,” ujar Hannah.

Turut mendapat durian runtuh ialah skuad bola sepak senior dan remaja negara menerusi peruntukan RM15 juta yang akan disalurkan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Arena e-sukan juga boleh menarik nafas lega apabila diperuntukkan RM20 juta bagi memperkasa ekosistem sukan tersebut meliputi pembangunan bakat dan naik taraf kemudahan.

Sukan kriket turut mendapat imbuhan sebanyak RM1 juta yang perlu dimanfaatkan untuk program pembangunan.

Mencongak di atas kertas, cukupkah bajet sebanyak RM230 juta untuk tempoh setahun yang turut melibatkan program Road To Gold (RTG), persediaan untuk ke Sukan SEA Thailand dan persiapan atlet para menjelang Sukan Para Dunia termasuk Deaflympic Tokyo 2025.

Belanja secara berhemah mudah bagai dikata, namun untuk melaksanakannya memang mencabar.

Bagaimanapun dengan strategi bijak ia mampu diurus dengan baik menerusi pelbagai idea kepimpinan KBS serta Majlis Sukan Negara (MSN) dan pemegang taruh yang lain.

Kerjasama KBS dengan rakan strategik sektor korporat perlu terus diperkasa menerusi situasi menang-menang termasuk pengecualian cukai yang bukan sekadar 10 peratus, namun boleh ditingkatkan secara berperingkat sehingga 100 peratus.

Ia bukan sekadar penajaan wang ringgit dan barangan sukan, namun boleh menjengah sehingga ke program jangka panjang demi kelangsungan hidup atlet selepas bersara daripada arena sukan.

Insentif berupa pelaburan jangka panjang seperti emas dan saham amanah mungkin boleh dirintis menerusi kerjasama dengan Permodalan Nasional Berhad (PNB).

Imbuhan berupa tajaan pendidikan di peringkat tertinggi sama ada dengan sektor awam atau swasta juga boleh dicuba kerana ilmu menjadi elemen penting buat atlet untuk jangka panjang.

Ia membuka ruang lebih luas buat atlet untuk menceburi bidang baharu selepas bersara seperti menjadi jurulatih berkualiti, perunding kesihatan, usahawan dan penyedia perkhidmatan sukan.

Malah program peralihan daripada seorang atlet kepada orang awam juga boleh diteroka menerusi kerjasama dengan pelbagai agensi dan kementerian.

Ia menjurus kepada minat dan kecenderungan atlet itu misalnya dalam sektor pertanian, penternakan serta industri makanan hiliran, selain teknologi baharu termasuk kecergasan buatan (AI).

'Hayat' seorang atlet berada di puncak kejayaan amat singkat iaitu antara 35 hingga 39 tahun, namun ia bergantung kepada pelbagai perkara termasuk kecederaan, prestasi dan tahap kesihatan.

Justeru perancangan teliti perlu disusun dengan baik ketika mereka masih menyarung jersi kebangsaan iaitu sebelum raket digantung dan but disimpan dalam rak kasut.

Ironinya kerangka perjalanan karier perlu dilukis oleh atlet itu sendiri, belanja berhemah untuk keperluan dan Belanjawan 2025 dimanfaatkan sebaik mungkin.

Usah dipegang konsep biar papa asal bergaya, tetapi amalkan langkah seluk poket sebelum berbelanja.

* Ahmad Syahir Kassim ialah Wartawan Sukan Sinar

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!