Kembalikan kehebatan Imigresen - Shahul Hamid

Muka depan Sinar Harian pada 22 Oktober lalu. Gambar kecil: Shahul Hamid
Muka depan Sinar Harian pada 22 Oktober lalu. Gambar kecil: Shahul Hamid
A
A
A

SHAH ALAM - Kakitangan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) perlu menjalankan tugas dengan lebih cemerlang dan berusaha mengembalikan zaman kegemilangan jabatan itu, agar tidak lagi dipandang serong oleh masyarakat.

Presiden Persatuan Pesara Kakitangan Imigresen Malaysia, Datuk Shahul Hamid Abd Rahim berkata, tidak dinafikan rasuah dan salah laku sering dikaitkan dengan JIM, tetapi ia hanya melibatkan beberapa individu dan bukannya keseluruhan anggota jabatan.

Pakar kriminologi bebas itu berkata, tidak adil untuk menghukum keseluruhan JIM kerana jabatan itu pernah gah dan menjulang penganugerahan tinggi sepanjang mengawal pintu masuk udara negara.

“Apabila berlaku macam ini (pembersihan skala besar), JIM umpama jatuh ditimpa tangga hanya kerana segelintir pegawai yang buat (rasuah).

"Macam jabatan ini kotor sangat, saya rasa tidak lah begitu. Pegawai jabatan kena jalankan tugas dengan cemerlang dan kembalikan semula kehebatan JIM,” katanya pada Rabu.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan operasi pembersihan besar-besaran Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menerusi tindakan bersepadu dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam membongkar sindiket counter setting sehingga tertangkapnya 50 pegawai imigresen.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki secara eksklusif mendedahkan, perbincangan sulit itu dilakukan bersama bekas Ketua Pengarah JIM, Datuk Ruslin Jusoh dan maklumat dalaman daripada beberapa pegawai jabatan itu.

Menurutnya, inisiatif Ruslin yang ingin ‘membersihkan’ JIM dari aspek tata kelola, isu rasuah dan masalah integriti tidak kira di peringkat tertinggi mahupun bawahan, wajar dipuji dan dijadikan tauladan oleh jabatan lain.

Artikel Berkaitan:

Pada 18 September lalu, SPRM memaklumkan, pihaknya menahan seramai 50 penguat kuasa, dua ejen dan lapan keldai akaun kerana disyaki bersekongkol dengan sindiket membawa masuk warga asing menerusi operasi counter setting di pintu masuk udara negara.

Seramai 49 pegawai JIM dan seorang sarjan polis wanita ditahan, malah tangkapan itu dibuat di Selangor, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur, Pahang, Johor dan Melaka.

Lebih RM500,000 wang tunai ditemui dalam bagasi milik seorang pegawai kanan wanita Gred KP22 JIM di Pahang dan hampir RM250,000 dijumpai di bawah katil bilik tidur pegawai imigresen Gred KP19 yang kini bertugas di Melaka.

Jumlah keseluruhan sitaan termasuk barang kemas, kenderaan dan akaun bank adalah lebih RM3.6 juta.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!