Ramai wanita takut buat mamogram

Kesan radiasi untuk mamogram adalah pada dos yang sangat rendah dan tidak berbahaya. Gambar kecil dari kiri: Zuraini Kamal dan Dr Norhashimah
Kesan radiasi untuk mamogram adalah pada dos yang sangat rendah dan tidak berbahaya. Gambar kecil dari kiri: Zuraini Kamal dan Dr Norhashimah
A
A
A

SHAH ALAM - Terlalu banyak alasan bagi wanita khususnya berusia 40 tahun ke atas untuk melakukan mamografi atau mamogram, iaitu pemeriksaan x-ray ke atas payudara sebagai salah satu langkah pengesanan awal kanser.

Pengerusi Cancer Survivors Malaysia (CSM), Zuraini Kamal berkata, mamogram ialah saringan awal bagi mengesan sebarang keadaan abnormal seperti ketulan atau kesakitan di sekitar payudara yang berisiko kepada kanser payudara.

Beliau yang pernah menderita kanser pada 2012 namun kini telah bebas dari penyakit itu berkata, terdapat banyak alasan diberikan golongan wanita untuk tidak melakukan saringan terbabit.

"Bila CSM buat program di kampung-kampung, boleh dikatakan yang datang memang tidak pernah buat (mamogram) dan mereka susah nak buat, banyak alasan lah.

"Pertamanya takut bila buat, takut tahu, kena sakit... kedua, mungkin kesukaran nak ke hospital dan ketiga sebab bila kita sihat, siapa yang nak buat saringan? Orang kita tunggu sakit baru nak buat rawatan," jelasnya.

Selain itu katanya, kurangnya ilmu mengenai saringan awal dan rawatan selain kesedaran terhadap kepentingan membuat pemeriksaan kesihatan dipercayai masih rendah dalam kalangan masyarakat khususnya golongan wanita.

"Tak ada orang fikir atau faham bahawa konsep kanser ni, kalau kita tahu awal, rawatan lebih mudah.

"Mereka tak sedar bahawa saringan itu boleh menyelamatkan nyawa, jika dikesan awal, buat rawatan segera, boleh menyelamatkan nyawa itu... yang orang tak tahu, maksudnya kesedaran masih kurang," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pakar Pembedahan Am, Payudara dan Endokrin, Pantai Hospital Sungai Petani, Dr Norhashimah Khadir berkata, terdapat beberapa faktor kemungkinan menyebabkan golongan wanita tidak melakukan saringan mamogram.

"Mungkin mereka merasakan saringan ini sakit...ini kerana semasa proses mamogram, payudara diletakkan di antara dua plat sebelum X-ray dilakukan, jadi proses tersebut menyebabkan payudara seperti dikepit, sebenarnya sakit itu hanya sementara saja dan akan hilang serta tidak perlu kepada pengambilan ubat.

"Selain daripada itu, ramai wanita tidak melakukan saringan disebabkan oleh takut kepada kesan radiasi tetapi kesan radiasi untuk mamogram adalah pada dos yang sangat rendah dan tidak berbahaya, dosnya lebih kurang seperti melakukan pemeriksaan X-ray kepada dada," katanya.

Norhashimah berkata, kurang pengetahuan seperti belum terdapat ketulan dan simptom menyebabkan mereka merasakan tidak perlu saringan untuk mengesan kanser pada peringkat awal.

Tidak dinafikan, beliau berkata, kebanyakan wanita bimbang kos mamogram yang tinggi menyebabkan mereka berasakan tidak perlu melakukan ujian tersebut.

"Kemungkinan mereka takut perlu membayar kos yang mahal untuk melakukan pemeriksaan mamogram tetapi sebenarnya saringan ini disediakan secara percuma di klinik kesihatan dan klinik Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) cuma mereka perlu mendaftar untuk melakukan pemeriksaan di pusat-pusat yang telah ditetapkan," katanya.

Berhubung ketepatan ujian mamogram terhadap kanser payudara yang dihadapi pesakit, Norhashimah berkata, kejituan dan sensitiviti untuk pesakit yang lebih berumur adalah lebih meningkat sehingga 90 peratus berbanding wanita berumur kurang 40 tahun.

"Sensitiviti dan keberkesanan ujian mamogram untuk mengesan kanser payudara sebenarnya bergantung kepada umur pesakit.

"Pesakit berumur kurang daripada 40 tahun, sensitiviti untuk mengesan kanser adalah kurang daripada 50 peratus, ini disebabkan oleh payudara pesakit yang muda ataupun kurang daripada 40 tahun adalah sangat padat dan mempunyai densiti tisu yang tinggi," jelasnya.

Disebabkan itu, beliau berkata, jika pesakit berumur 40 tahun dan ke bawah, perlu menjalani ujian lain seperti ultrasound ataupun MRI untuk meningkatkan ketepatan dan kejituan diagnosis.

"Bagi wanita yang berumur lebih daripada 60 tahun, sensitiviti dan kejituan pemeriksaan mamogram sangat bagus di mana kejituan dan sensitiviti ini untuk pesakit yang lebih berumur meningkat sehingga 85 hingga 90 peratus untuk mengesan kanser," katanya.

Beliau menjelaskan, adalah penting bagi wanita melakukan peperiksaan mamogram memandangkan ia mampu mengenalpasti ciri-ciri kanser pada peringkat awal walaupun tiada ketulan ataupun simptom.

"Antara sebab utama kenapa mamogram dipilih ataupun digunakan sebagai alat saringan kepada kanser payudara kerana ia dapat mengenal pasti meskipun tidak ada ketulan ataupun tanda-tanda awal di payudara tersebut," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!