Misteri dentuman imbau tragedi maut Gunung Cheroh

Sebahagian kawasan Gunung Cheroh yang menjadi igauan ngeri penduduk suatu ketika dahulu berikutan tragedi runtuhan batu 50 tahun lalu.
Sebahagian kawasan Gunung Cheroh yang menjadi igauan ngeri penduduk suatu ketika dahulu berikutan tragedi runtuhan batu 50 tahun lalu.
A
A
A

IPOH - Gegaran berserta bunyi dentuman misteri yang mengejutkan warga bandar raya Ipoh pada Isnin mengimbau kembali tragedi runtuhan batu kapur di Gunung Cheroh di sini kira-kira 50 tahun yang lalu.

Tragedi yang mengorbankan kira-kira 40 individu itu masih mengundang trauma kepada waris dan mangsa meskipun telah lima dekad berlaku.

Ketua Pusat Kajian Warisan dan Sejarah Perak, UniKL Royal College of Medicine Perak, Ibrahim Ahmad berkata, gegaran kuat di sekitar kawasan Kampung Kacang Putih, Gunung Cheroh pada 18 Oktober 1973 akibat runtuhan batu mengejutkan semua orang ketika itu.

Ibrahim Ahmad
Ibrahim Ahmad

Katanya, sejarah mengerikan itu meninggalkan kesan mendalam kerana ia menjadi tragedi menyayat hati susulan terdapat mayat yang kekal tertanam di bawah runtuhan batu kapur itu hingga ke hari ini.

“Bagi mereka yang terlibat atau menyaksikan kejadian sehingga memberi kesan dalam hidup ini, lazimnya akan teringat kembali apa yang pernah dialami apatah lagi jika kejadian letupan ini sama atau seakan-akan dari aspek tanda-tanda kejadian.

“Cuma, tragedi di Kampung Kacang Putih pada 1973 itu berpunca daripada keadaan hujan yang terlalu lebat, berbeza dengan kejadian letupan semalam yang berlaku dalam keadaan cuaca baik dan suasana sebelum itu pun tenang,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Ibrahim berkata, kesan kejadian itu masih kekal hingga ke hari ini kerana batu berkenaan masih berada dalam kedudukan asalnya sejak kejadian itu berlaku dan menjadi sebagai batu nisan untuk memperingati kisah tragik itu.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, mereka yang terlibat dalam tragedi tersebut mengalami trauma berpanjangan apatah lagi mereka yang kehilangan ahli keluarga malah ada dalam kalangan waris juga tidak mahu ke kawasan itu lagi.

IKTIBAR

Beliau berkata, sejarah tersebut harus menjadi iktibar buat semua pihak biarpun situasi berbeza dengan kejadian gegaran serta dentuman yang mengejutkan penduduk Ipoh pada Isnin.

Bagaimanapun jelasnya, sejak peristiwa Tsunami 2004 kebanyakan rakyat mula sedar terhadap bencana alam yang perlu diberi perhatian serius.

“Seharusnya masyarakat sentiasa peka dengan perubahan cuaca dari semasa ke semasa berbanding menunggu amaran dan arahan daripada pihak berkuasa.

“Masyarakat perlu cakna dengan pelbagai kemungkinan pada setiap masa,” katanya.

Tahun lalu, Majlis Pengkisahan Sejarah Runtuhan Gunung Cheroh 50 Tahun Dalam Ingatan di Tempat Kejadian Gunung Cheroh telah dianjurkan oleh Arkib Negara Malaysia di sini.

Gambar runtuhan Gunung Cheroh yang berada dalam simpanan Arkib Negara dipamerkan kepada orang awam bagi mengimbau sejarah berlakunya tragedi terbabit.
Gambar runtuhan Gunung Cheroh yang berada dalam simpanan Arkib Negara dipamerkan kepada orang awam bagi mengimbau sejarah berlakunya tragedi terbabit.

Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, A Sivanesan yang menyempurnakan majlis tersebut berkata, kerjasama antara kerajaan negeri dengan Arkib Negara Malaysia itu akan mendokumentasi kejadian tersebut untuk rujukan serta ingatan generasi hari ini.

Menurutnya, kerajaan negeri juga akan membina tugu peringatan serta galeri bagi memperingati kejadian itu.

Kejadian runtuhan batu di Gunung Cheroh, Jalan Raja Musa Aziz di sini itu berlaku pada 18 Oktober 1973 iaitu seminggu sebelum sambutan perayaan Deepavali.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan satu gegaran kuat dirasai di beberapa kawasan di sekitar Ipoh seperti Tasek, Stadium Perak, Meru, Falim dan Manjoi serta pengguna Lebuhraya Utara Selatan dekat Terowong Menora sekitar jam 11 pagi pada Isnin.

Sementara itu, Pas Perak menggesa kerajaan melakukan siasatan menyeluruh berhubung insiden gegaran dan dentuman kuat yang dirasai di beberapa kawasan sekitar Ipoh pada Isnin lalu.

Pesuruhjayanya Razman Zakaria berkata, kenyataan rasmi perlu dibuat bagi menjawab persoalan kejadian yang berlaku setiap enam tahun sehingga menjadi misteri.

“Mengikut sumber, kejadian letupan ini pernah berlaku pada 2012, 2018 dan 2024 yang mana masanya sama sekitar jam 11 pagi. Ini bermakna ia berlaku enam tahun sekali untuk kali ketiga,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Katanya, kenyataan rasmi itu penting untuk rujukan dan kebertanggungjawaban terhadap tindakan yang bakal berlaku.

INFO TRAGEDI

- Berlaku ketika hujan lebat

- Pada waktu malam

- Seminggu sebelum Deepavali

- Musnahkan 20 rumah penduduk

- Turut korbankan haiwan ternakan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!