Colombia syurga ikan hiasan
INIRIDA - Setiap hari, nelayan tempatan akan berjumpa dengan individu bernama Ernesto Rojas untuk menjual ikan hiasan berwarna-warni yang ditangkap mereka di sungai terletak di hutan Colombia.
Warga emas di Inirida, wilayah timur Guainia yang bersempadanan dengan Venezuela dan Brazil telah berkecimpung lebih setengah abad dalam perniagaan ikan hiasan.
Industri ini telah berkembang pesat walaupun mendapat kritikan sebagai 'perbuatan kejam' menganiayai haiwan akuatik.
Rojas akan menyimpan ikan dalam kolam yang ditutup dengan jaring bagi mengelakkan ia dimakan burung pemangsa dan kemudian akan menghantarnya ke Bogota untuk dieksport ke Amerika Syarikat (AS), Asia dan Eropah.
Dia hanya membeli hanya satu spesies ikan dikenali sebagai Altum Angelfish (mirip ikan bawal sirip panjang) dengan harga AS$2 (RM8.69) setiap seekor yang hanya boleh didapati di rantau ini.
Setibanya di AS, harga ikan ini akan mencecah sehingga AS$70 (RM303) seekor.
"Begitu banyak keindahan yang dilihat dalam badan ikan sekecil itu," kata Rojas sambil meneliti penghantaran seterusnya yang mengandungi ratusan ikan Altum Angelfish.
Di sekelilingnya deretan ikan spesies sama dilihat berenang dalam bungkusan plastik lut sinar.
Pada masa sama, pembantunya akan mengisi oksigen dalam beg plastik sebagai persediaan untuk menghantar menggunakan kapal terbang ke Bogota yang akan mengambil masa sejam.
KEBIMBANGAN KELESTARIAN IKAN HIASAN
Dalam bahasa Orang Asli tempatan, Guainia bermaksud 'tanah mempunyai kawasan air'.
Menurut Pihak Berkuasa Akuakultur dan Perikanan Kebangsaan, rantau ini menempatkan 60 peratus daripada 521 spesies yang dibenarkan untuk dijual di Colombia.
Kira-kira 526 tan ikan telah dieksport pada tahun 2023, menjana pendapatan kira-kira enam juta dolar bagi Colombia.
Perjalanan ke Inirida hanya boleh menggunakan kapal terbang atau menaiki bot panjang kerana wilayah itu tidak mempunyai jalan raya bersambungan ke Bogota.
Pengarah pihak berkuasa alam sekitar tempatan, Oscar Javier Parra berkata, kedudukan wilayah yang terasing menjadikan ikan hiasan sebagai tonggak utama sumber ekonomi negara ini.
Menurut Dana Hidupan Liar Dunia (WWF), walaupun perdagangan akuarium yang berkembang pesat di Amerika Selatan membawa pendapatan yang sangat diperlukan untuk beribu-ribu orang, untuk mengekalkan kelestarian spesies ikan hiasan adalah adalah perkara yang sukar.
"Bagi ikan hiasan, jumlah eksport yang tinggi menimbulkan kebimbangan bahawa perdagangan itu mungkin tidak seimbang untuk menjaga populasi ikan. Sejarah juga menunjukkan bahawa eksploitasi berlebihan adalah senario yang mungkin berlaku," kata WWF.
Tambahnya, jika ia dikawal selia dengan betul, penjagaan kelestarian ikan hiasan secara konsisten boleh meningkatkan pemuliharaan hutan dan mengurangkan kemiskinan masyarakat tempatan.
Sebagai usaha melindungi populasi ikan, pihak berkuasa mengharamkan menangkap ikan di Guainia selama tujuh minggu setahun, biasanya antara awal April dan Jun.
Bagi sesetengah spesies seperti angelfish, larangan itu bermula beberapa minggu lebih awal.
"Ia adalah perniagaan terkawal yang sangat baik untuk diamalkan," kata Parra. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!