Jual sayur hidroponik tambah tabung masjid

Mat Yaman menunjukkan sawi segar yang dipetik dari bekas hidroponik.
Mat Yaman menunjukkan sawi segar yang dipetik dari bekas hidroponik.
A
A
A

JELI - Jemaah Masjid Mukim Berdang di sini mengambil inisiatif menanam sayur secara hidroponik sebagai pendapatan tambahan untuk tabung masjid berkenaan.

Imam Muda Masjid Berdang, Jeli, Mat Yaman Mat Yasin berkata, mereka mula menanam 80 bekas sayur sejak lapan bulan lalu dan ada jemaah yang dilantik menguruskan tanaman itu.

Menurut beliau, setakat ini mereka menanam kangkung dan sawi yang diusahakan secara bergilir-gilir kerana mudah diuruskan selain sentiasa mendapat sambutan di pasaran.

"Hasil pertanian ini sekurang-kurangnya dapat membantu pihak kami membayar bil elektrik dan air serta keperluan lain termasuk mencantikkan persekitarannya," katanya kepada Sinar Harian.

Mat Yaman menunjukkan cara benih sawi ditanam.
Mat Yaman menunjukkan cara benih sawi ditanam.

Mat Yaman memberitahu, usaha itu mendapat sokongan pejabat pertanian yang membekalkan peralatan awal untuk memulakan tanaman berkenaan.

Jelas beliau, tidak sukar untuk menguruskan tanaman hidroponik dan peralatan yang digunakan juga hanya sabut kelapa yang menggantikan tanah.

"Kami perlu menukar sabut itu bagi memastikan tanaman kekal segar dan boleh dipetik dalam waktu yang ditetapkan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya lagi, mereka akan menjual sayur itu kepada penduduk kampung yang biasanya akan terus memasukkan wang ke dalam tabung masjid.

Jelas beliau, pendapatan hasil tanaman itu tidak menentu kerana ramai daripada mereka membayar lebih dengan niat bersedekah namun melebihi RM150 sebulan.

Sawi segar yang diusahakan jemaah masjid Mukim Berdang.
Sawi segar yang diusahakan jemaah masjid Mukim Berdang.

"Kami juga akan berkongsi di aplikasi WhatsApp penduduk kampung untuk menjual hasil sayur yang sudah dipetik dan biasanya akan habis dengan cepat selepas waktu solat," katanya.

Katanya, pihak pengurusan masjid merancang menambah jumlah bekas tanaman dan memikirkan tanaman lain yang sesuai kerana ramai jemaah yang menyokong usaha itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!