Minta, terima suapan perbuatan khianat kepada negara
SHAH ALAM - Mengambil kesempatan dengan meminta dan menerima suapan untuk menyelesaikan sesuatu kes merupakan satu perbuatan khianat kepada negara.
Pengerusi Rasuah Busters Perlis, Dr Nor Halmey Hamdah berkata, cara itu mungkin membantu namun meminta imbuhan adalah satu kesalahan undang-undang.
"Jikalau pihak-pihak yang terlibat ingin membantu bukan dengan cara meminta imbuhan sebaliknya menggunakan kaedah lain seperti merujuk kes kepada pihak berwajib.
"Ia bertujuan bagi memberi dakwah dan nasihat kepada mereka. Jika didapati bersalah mereka terlibat seharusnya diberi hukuman setimpal sebagai pedoman kepada orang lain," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Sebelum ini, dua anggota polis berpangkat koperal dan seorang lans koperal didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka pada Selasa, atas tuduhan meminta dan menerima suapan RM3,000 sebagai dorongan tidak mengambil tindakan terhadap pasangan kekasih dalam kenderaan, tahun lalu.
Tertuduh, Wan Muhammad Fauzi Zulkefli, 29, Muhamad Adham Samsudin, 34, dan Muhammad Najib Muhamad, 36, mengaku tidak bersalah sejurus dua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Pendakwaan kes dilakukan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Abd Muntaqim Abdul Aziz di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan, manakala ketiga-tiga tertuduh diwakili peguam, Umar Zulkarnain.
Tambah Nor Halmey, rasuah juga akan menjejaskan kepercayaan masyarakat kepada institusi kerajaan.
"Saya percaya masyarakat bukan sahaja tidak percaya malah memberi kesan sampingan kepada petugas lain yang sangat dedikasi serta amanah.
"Hukuman kepada mereka kita kena akur pada undang-undang sedia ada, malah mungkin jika tindakan dalaman akan memberi pedoman kepada kakitangan lain," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!