Haaland ketuai pesta gol Manchester City di Etihad

Aksi bertenaga Haaland ketika melayan kunjungan Sparta Prague di Etihad. Foto Agensi
Aksi bertenaga Haaland ketika melayan kunjungan Sparta Prague di Etihad. Foto Agensi
A
A
A

MESIN gol penyandang juara Liga Perdana Inggeris (EPL) Manchester City, Erling Haaland meledak satu gol menakjubkan daripada dua gol ketika menewaskan Sparta Prague 5-0 dalam aksi Liga Juara-Juara di Stadium Etihad.

Tiga mata diraih angkatan kendalian Pep Guardiola itu mengekalkan rekod tanpa kalah gergasi England tersebut dalam kempen Liga Juara-Juara.

Keputusan itu juga membolehkan The Citizens tenang berada di kedudukan ketiga dengan tujuh mata dua mata di belakang Liverpool dan pendahulu, Aston Villa.

Haaland, 23, yang memulakan karier bola sepak bersama kelab Norway, Bryne FK membarakan suasana di Etihad apabila menjaringkan gol dengan cara menakjubkan apabila melonjak tinggi untuk menyudahkan hantaran lintang Savinho pada minit ke-58.

Bekas bintang kelab Austria, Red Bull Salzburg sebelum menyerlahkan potensi diri bersama gergasi Bundesliga Jerman, Borussia Dortmund kemudiannya menambah satu lagi jaringan kedua peribadi minit ke-68.

Jaringan bintang Norway yang terkenal dengan kepantasan, kekuatan, kedudukan dan penyudah dalam kotak penalti meletakkan jumlah koleksi gol peribadi Liga Juara-Juara kepada 44 dalam 42 perlawanan.

Perkembangan terkini itu menyaksikan Haaland sebaris Didier Drogba di tempat ke-16 dalam senarai sepanjang zaman dalam Kejuaraan Eropah, walaupun Drogba mengambil 92 perlawanan untuk mencapai sasaran berkenaan.

Manchester City, yang seri 0-0 dengan kelab Serie A Itali Inter Milan kemudian membelasah wakil Slovak, Slovan Bratislava 4-0 dalam dua perlawanan pertama mereka, akan berkunjung ke laman kelab liga Portugal, Sporting de Lisbon dalam fasa liga baharu 36 pasukan, dengan lapan teratas secara automatik mara ke pusingan 16 terakhir.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!