Dua anak Najib luah kecewa dalam TikTok, pertikai titah addendum

Mohamad Nizar dan Mohd Nazif mengadakan siaran langsung di TikTok lewat malam Rabu.
Mohamad Nizar dan Mohd Nazif mengadakan siaran langsung di TikTok lewat malam Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Dua anak bekas Perdana Menteri melahirkan rasa kecewa terhadap keputusan Lembaga Pengampuan yang tidak memberi pengampunan penuh dan membebaskan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagaimana diperolehi Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Datuk Mohamad Nizar dan Datuk Mohd Nazifuddin menerusi siaran langsung di aplikasi TikTok pada lewat malam Rabu turut mempertikaikan kewujudan titah addendum oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 bagi membolehkan bapa mereka menjalani baki hukuman penjara sebagai tahanan di rumah.

Mohamad Nizar yang juga Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Pahang berkata, ketika ini tiada siapa dalam kerajaan terutama pemimpin UMNO yang tampil memberi maklumat jelas mengenainya.

"Ini keadaan yang amat mendukacitakan bagi kami sekeluarga kerana tiada siapa yang boleh beri jawapan mengenai status titah addendum. Saya percaya ia wujud, kalau tidak mana mungkin pemimpin atasan kita berani buat afidavit.

"Harapan keluarga kami, mereka akan menunaikan permintaan ayahanda untuk mendapat tahanan rumah memandangkan beliau sudah semakin berumur dan harap orang ramai faham keadaannya," katanya.

Sebelum ini Mahkamah Rayuan Putrajaya menetapkan 5 Disember depan untuk mendengar rayuan bekas Ahli Parlimen Pekan itu berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya bagi memulakan semakan kehakiman untuk mencabar kewujudan titah addendum.

Pada 3 Julai lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Najib, 71, untuk memulakan prosiding semakan kehakiman ke atas lapan responden bagi mencabar kewujudan titah addendum tersebut selepas berpendapat empat afidavit bagi menyokong permohonannya, termasuk oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presidennya, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail adalah bersifat dengar cakap atau khabar angin.

Dalam pada itu Mohd Nazifuddin turut mendakwa kes mahkamah melibatkan tunggakkan cukai yang dikenakan terhadapnya sudah dirancang pihak tertentu disebabkan terpalit dengan kes melibatkan bapanya.

Artikel Berkaitan:

"Bila terkena, satu keluarga kena, dalam masa sama dan hari yang sama. Niatnya sama, mahu memburukkan nama dan maruah keluarga, sama seperti dalam bulan Ramadan apabila polis menggeledah rumah Datuk Seri Najib untuk mencari kemewahan, wang serta barang berharga beliau.

"Memang ada barang berharga sebab dia Perdana Menteri, banyak hadiah yang diberikan oleh ketua-ketua negara, ramai rakan beri hadiah. Tetapi untuk menganiaya beliau dalam bulan puasa, mempamerkan barangan kepada orang ramai untuk menunjukkan dia ambil rasuah, apa tujuannya," soalnya.

Pada Julai lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Najib dan Mohd Nazifuddin untuk menangguhkan prosiding kebankrapan terhadap mereka kerana gagal melunaskan tunggakan cukai masing-masing iaitu RM1.69 bilion dan RM37.6 juta.

Perkara itu disahkan peguam mereka, Muhammad Farhan Muhammad Shafee selepas prosiding yang berlangsung dalam kamar.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!