Cikgu sebak lihat murid jalan menyeret, sumbat kertas dalam kasut

Tangkap layar video perkongsian Cikgu Farrah di TikTok
Tangkap layar video perkongsian Cikgu Farrah di TikTok
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Kisah murid berjalan sambil menyeret kasutnya di dewan sekolah mendapat perhatian seorang guru untuk menghulurkan bantuan.

Menerusi video individu bernama Cikgu Farrah di TikTok, saiz kasut pelajar itu lebih besar daripada kaki sehingga menyukarkannya untuk berjalan dengan selesa.

Farrah berkata, keadaan itu membuatnya berasa sebak dan mendorong untuk membantu murid berkenaan dengan membeli sepasang kasut sekolah baharu.

“Ketika hendak ukur saiz kaki dia guna tapak tangan dan jari saya, nampak ada kertas dalam kasut.

Tangkap layar video perkongsian Cikgu Farrah di TikTok
Tangkap layar video perkongsian Cikgu Farrah di TikTok

"Rupanya dia sumbat kertas-kertas sebab kasut itu saiz besar. Saya anggap ALLAH hantar anak ini untuk jentik hati saya (bantu dia), walaupun kasut besar tetapi masih nak datang ke sekolah demi belajar,” katanya pada Sinar Harian pada Rabu.

Farrah, turut berkongsi kisah dia terpaksa tukar dua kali di kedai kerana tersalah mengukur saiz kaki untuk murid tersebut.

“Kali pertama beli kasut itu ketat, saya pergi tukar. Esok saiz kasut itu pula besar.

Artikel Berkaitan:

“Bila sudah dua kali tukar, akhirnya saya buat keputusan untuk berikan kasut yang besar itu kepada kakaknya.

“Saya belikan yang baharu untuk adiknya, tetapi reaksi wajah murid ini memang sangat gembira bila saya beli kasut untuknya, ” ujarnya.

Video berkenaan mendapat perhatian ramai yang menzahirkan rasa simpati dan terharu melihat kesusahan yang didepani oleh kanak-kanak tersebut.

Sehingga Rabu, perkongsian video itu meraih 2.8 juta tontonan dan 137, 500 tanda suka di platform TikTok.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!