Hujan batu di Terengganu: Lebih 200 rumah rosak

Sebanyak 244 buah rumah rosak dalam kejadian ribut dan hujan batu di daerah Kemaman. Gambar kecil: Hanafiah Mat
Sebanyak 244 buah rumah rosak dalam kejadian ribut dan hujan batu di daerah Kemaman. Gambar kecil: Hanafiah Mat
A
A
A

KEMAMAN - Sebanyak 244 buah rumah rosak dalam kejadian ribut dan hujan batu di daerah Kemaman pada petang Rabu.

Exco Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri (Pengurusan Bencana), Hanafiah Mat berkata, kerosakan tersebut melibatkan kediaman di sembilan buah kampung termasuk Kampung Tuan, Kampung Pengkalan Pandan, Kampung Besut, Kampung Gong Limau dan Kampung Bakau Tinggi.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai, menyatakan sebanyak tujuh keluarga ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Kampung Gong Pauh disebabkan kerosakan teruk yang dialami.

"Kita telah arahkan 17 pasukan kontraktor untuk membaiki kediaman yang rosak pada pagi ini.

"Selain itu, kerja-kerja membaiki itu turut dibantu oleh sebuah badan bukan kerajaan (NGO) Prihatin manakala di sekolah pula kerja-kerja gotong-royong pembersihan juga sedang giat berjalan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Khamis.

Pada Rabu, beberapa kawasan di daerah Kemaman mengalami kerosakan teruk akibat dilanda fenomena hujan batu dan ribut sekitar jam 4 petang.

Kejadian tersebut turut mengakibatkan seorang lelaki patah kaki kanan kerana dihempap bumbung sebuah wakaf yang runtuh berdekatan Pantai Teluk Mak Nik, di sini.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Chukai, Mohd Zailani Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melibatkan kes pokok tumbang dan bumbung bangunan diterbangkan angin.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Hanafiah berkata, kerajaan Terengganu menerusi Tabung Bencana Negeri akan melakukan kerja-kerja baik pulih sepenuhnya terhadap kesemua rumah yang terjejas akibat bencana tersebut.

"Kita akan membantu penduduk terjejas dengan segera kerja pembaikan rumah yang mengalami kerosakan pada bumbung selain turut menghantar kira-kira 100 sukarelawan untuk membersihkan kawasan terlibat.

"Rumah-rumah terjejas akibat ribut tersebut mengalami kerosakan yang berbeza-beza maka ia memerlukan kos dan bantuan berlainan.

"Kesemuanya telah kita uruskan. Jadi kita harap mangsa bersabar dan Insya-ALLAH, kami akan menyelesaikan semuanya dengan segera," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!