Pekerja kilang diserang angin ahmar perlu RM50,000 untuk pembedahan

Wakil One Hope Charity & Welfare (kiri) melawat Mohd Kamal yang diserang angin ahmar.
Wakil One Hope Charity & Welfare (kiri) melawat Mohd Kamal yang diserang angin ahmar.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Seorang ketua unit pembungkusan di sebuah kilang memerlukan dana sebanyak RM50,000 bagi menjalani pembedahan akibat diserang angin ahmar.

Pengerusi One Hope Charity & Welfare, Datuk Chua Sui Hau berkata, Mohd Kamal Sabidi Hamid, 49, yang menetap di Serdang, Kedah itu diserang angin ahmar semasa sedang bekerja.

Menurutnya, Mohd Kamal dilaporkan lemah secara tiba-tiba sebelum terjatuh ke lantai.

“Dia dikejarkan ke hospital oleh rakan sekerjanya. Pemeriksaan doktor mendapati, Mohd Kamal mengalami tekanan darah tinggi dan disahkan diserang angin ahmar.

“Mohd Kamal sebelum ini memang menghidap darah tinggi dan mengambil ubat mengikut masa, selain sering menjalani pemeriksaan mengikut jadual,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Tambahnya, Mohd Kamal perlu menjalani pembedahan trombektomi dengan segera dan memerlukan sumbangan orang ramai bagi menampung kos tersebut kerana keluarganya tidak berkemampuan.

“Keluarganya telah datang ke pejabat One Hope Charity & Welfare untuk memohon bantuan dan kita akan membantunya mengumpul dana itu.

“Mohd Kamal telah bekerja di bahagian pembungkusan kilang sejak 30 tahun lalu manakala isterinya, Hamisyon Khadir yang berusia 52 tahun hanya seorang suri rumah," tambahnya.

Artikel Berkaitan:

Sui Hau berkata, pasangan tersebut mempunyai tiga orang anak berusia 18 hingga 25 tahun.

"Anak mereka ada yang baru habis sekolah dan baru bekerja. Mereka tidak mampu menanggung kos yang besar untuk rawatan bapa mereka.

"Oleh itu, orang ramai yang berhasrat untuk menghulurkan bantuan boleh berbuat demikian menerusi akaun Public Bank Berhad atas nama One Hope Charity & Welfare, nombor akaun 3201428817 atau melalui laman web www.onehopecharity.org," ujarnya.

Menurutnya, sebarang pertanyaan, orang ramai boleh menghubungi talian hotline 04-539 9212, 016-419 2192, 019-232 2192, 018-911 4192.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!