Warga emas berputih mata wang pelaburan RM149,291 lesap

#SinarHarian
#SinarHarian
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang warga emas kerugian RM149,291 akibat terpedaya dengan skim pelaburan dalam talian yang tidak wujud.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd Sohaimi Ishak berkata, lelaki berusia 64 tahun dan masih bekerja sebagai penyelia penyelenggaraan di sebuah syarikat swasta itu mendakwa ditipu oleh satu skim pelaburan dalam talian Q-She.

"Pada peringkat awal, mangsa tertarik dengan skim berkenaan yang menawarkan pulangan 15 peratus daripada modal yang dilaburkan.

"Mangsa kemudiannya telah membuat 10 kali transaksi yang keseluruhannya berjumlah RM149,291 kepada enam akaun berbeza mulai 27 Ogos hingga 14 Oktober 2024 bagi mendapatkan keuntungan seperti yang dijanjikan.

"Bagaimanapun, mangsa membuat laporan polis setelah menyedari dirinya telah ditipu apabila diminta membuat bayaran tambahan ketika menuntut keuntungan seperti yang dijanjikan itu," katanya.

Mohd Sohaimi berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 10 tahun serta sebatan dan boleh juga dikenakan denda.

Menurutnya, siasatan juga akan meliputi penglibatan 'keldai akaun' sekiranya ada dan tindakan akan diambil terhadap pemilik akaun yang terlibat.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!