Pelajar universiti tipu NGO direman dua hari
KUBANG PASU - Seorang pelajar lelaki sebuah universiti awam direman selama dua hari bagi membantu siasatan selepas disyaki menipu sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di sini beberapa hari lalu.
Perintah reman tersebut dikeluarkan Majistret, Nurul Huda Idris di Mahkamah Jitra pada Khamis.
Suspek yang berusia 23 tahun itu tiba di pekarangan mahkamah dengan diiringi anggota polis kira-kira jam 8.28 pagi.
Dia kemudiannya dibawa keluar dari lokap mahkamah kira-kira jam 9.10 pagi, sebelum kembali dihantar ke lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu menggunakan kereta sama.
Pada Selasa, pengasas Cancer Survivors Malaysia (CSM), Zuraini Kamal membuat laporan polis setelah mendakwa pelajar itu memperdayanya dengan kononnya memerlukan sumbangan untuk membayar yuran pengajian yang berjumlah RM5,000.
Simpati dengan nasib pelajar terbabit, Zuraini memuat naik hantaran di Facebook bagi mengajak orang ramai membantu pelajar berkenaan hingga pelajar itu menerima sumbangan sebanyak RM1,176 dalam tempoh sejam yang dimasukkan terus ke dalam akaunnya.
Selain Zuraini, pelajar terbabit didakwa pernah melakukan penipuan bernilai hampir RM200,000 melibatkan beberapa NGO lain serta individu ternama bergelar Tan Sri dan Datuk Seri sebelum ini.
Perkara itu pernah didedahkan dalam akhbar berbahasa Cina pada April lalu setelah kegiatan itu didedahkan wakil Pertubuhan Kebajikan Seberang Perai, Pulau Pinang, Eng Hiap Boon.
Dalam sidang akhbarnya pada Rabu, Hiap Boon mengajak lebih ramai mangsa membuat laporan polis bagi memastikan kegiatan itu dapat dihentikan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!