AMMDM: Pengintegrasian dasar inklusif dalam pengurusan bencana ASEAN

Ahmad Zahid
Ahmad Zahid
A
A
A

PUTRAJAYA - Malaysia menekankan kepentingan pengintegrasian dasar inklusif dalam rangka kerja pengurusan bencana ASEAN untuk membina komuniti yang lebih berdaya tahan, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Penekanan tersebut disampaikan dalam Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Pengurusan Bencana (AMMDM) kali ke-12 yang diadakan di Brunei, bermula semalam hingga esok (25 Oktober).

"Selain itu, Malaysia juga akan memperhebatkan penyertaan dalam mekanisme serantau seperti ASEAN Standby Arrangements (SASOP) bagi memastikan respons kecemasan bencana dapat diselaraskan dengan cekap dan tepat pada masanya.

"Ini termasuk penilaian aset dan keupayaan negara untuk menyokong tindak balas serantau yang lebih pantas dan berkesan," katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.

Ahmad Zahid, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara, berkata beliau juga memberi penekanan tentang peranan aktif Malaysia dalam menyokong Pusat Penyelarasan Bantuan Kemanusiaan ASEAN (AHA Centre), serta terlibat dalam latihan dan simulasi seperti Latihan Simulasi Kecemasan Bencana Serantau ASEAN (ARDEX) dan Pelan Tindak Balas Bencana Bersama ASEAN (AJDRP).

"Malaysia telah menawarkan khidmat daripada Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) ke negara-negara ASEAN yang mengalami kesan bencana yang teruk," katanya.

Beliau berkata, SMART merupakan satu-satunya pasukan elit penyelamat dari ASEAN dan pasukan kedua di Asia selepas Jepun, yang diiktiraf oleh International Search and Rescue Advisory Group (INSARAG) di bawah United Nations Office for the Coordination of Humanitarian Affairs.

Ahmad Zahid menegaskan bahawa Malaysia akan terus komited dalam pengurusan risiko bencana, dan AMMDM membuktikan komitmen Malaysia untuk meningkatkan daya tahan bencana di seluruh rantau ini.

Artikel Berkaitan:

Beliau juga menegaskan bahawa cabaran perubahan iklim memerlukan satu kerjasama serantau yang erat.

"Dalam hal ini, Malaysia akan terus menyelaraskan strategi dari Persidangan Menteri Asia Pasifik Mengenai Pengurangan Risiko Bencana (APMCDRR) yang telah berlangsung di Manila baru-baru ini. Ini akan membantu memperkukuh daya tahan kolektif ASEAN dalam menghadapi cabaran baharu," katanya.

Ahmad Zahid berkata, menerusi kerjasama dan perkongsian kepakaran, ASEAN akan berupaya membina dan meningkatkan keupayaan rantau bagi mendepani cabaran yang mendatang.

Selain itu, beliau menegaskan komitmen Malaysia dalam memperkukuh daya tahan bencana melalui inisiatif tempatan dan serantau, termasuk Dasar Pengurangan Risiko Bencana 2030 dan program Pengurusan Risiko Bencana Berasaskan Komuniti (CBDRM) yang melibatkan kumpulan rentan seperti wanita, warga emas, dan orang kurang upaya.

Menurutnya, dasar dan program tersebut jelas menunjukkan komitmen Malaysia terhadap pengurusan risiko bencana dengan tumpuan kepada mitigasi risiko.

Ahmad Zahid turut menyatakan usaha Malaysia untuk mengadaptasi penggunaan teknologi dalam pengurusan bencana. Melalui Program Ramalan dan Amaran Banjir Nasional (PRABN), yang mampu meramalkan banjir sehingga tujuh hari lebih awal dan mengeluarkan amaran kepada orang awam dalam tempoh 48 jam.

"Inovasi ini merupakan satu daripada langkah penting dalam mempertingkatkan kecekapan tindak balas bencana," katanya.

Beliau berkata, usaha itu turut diperkukuh dengan pelaburan besar dalam infrastruktur kritikal bagi memastikan perkhidmatan penting terus beroperasi ketika bencana.

Ahmad Zahid kini berada di Brunei bagi mewakili Malaysia pada AMMDM yang bertemakan "Membangunkan ASEAN yang Berdaya Tahan melalui Pemulihan Bencana yang Inklusif dan Mampan", yang menekankan kepentingan usaha bersama dalam menghadapi peningkatan kekerapan dan kesan bencana alam. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!