Air, manusia dan doa

A
A
A

SEBAHAGIAN besar tubuh manusia ialah air. Ketika sperma dan ovum bersenyawa, 95 peratus daripadanya merupakan air. Apabila dewasa, tubuh manusia terdiri daripada 70 peratus air. Kehidupan manusia tidak dapat lari daripada air.

Penyelidik Jepun, Masaru Emoto, mempunyai pelbagai pertanyaan tentang air lalu mengkajinya. Menurutnya, bumi adalah ‘planet air’ kerana lebih kurang 70 peratus daripada permukaan bumi dilitupi air, sama seperti tubuh manusia.

Air di bumi juga berbeza; ada air hujan, air tasik, air sungai, air bawah tanah, juga air yang berbentuk wap di udara seperti kabus dan awan.

Emoto terfikir, jika salji mempunyai bentuk kristal yang berbeza-beza, bagaimana dengan air? Adakah air juga mempunyai ekspresi yang berbeza? Untuk mendapatkan jawapannya, beliau telah mengambil gambar bentuk kristal daripada air yang telah dibekukan.

Koleksi gambar tersebut telah dihimpunkan dalam buku bertajuk Messages from Water setebal 143 muka surat serta buku berikutnya.

Kajian Emoto bermula pada 1994. Ketika air yang telah beku mula mencair antara suhu -5ºC hingga 0ºC, beliau merakam gambar kristal yang terbentuk menggunakan mesin Magnetic Resonance Analyzer.

Permulaan proses itu mengambil masa selama dua bulan. Beratus gulung filem telah digunakan sebelum beliau berpuas hati dengan kualiti gambar yang diambil dan beliau terus merakam gambar menggunakan metode yang sama.

Sepanjang empat setengah tahun tempoh kajian, terdapat 10,000 gambar kristal air yang berjaya dirakam daripada air yang diambil dari seluruh pelosok dunia.

Artikel Berkaitan:

Berdasarkan pengalamannya ketika merakam gambar-gambar air yang membentuk kristal itu, beliau merasakan seolah-olah air terbabit cuba menyampaikan mesej tertentu. Ternyata tenaga, kata-kata, doa dan getaran mampu mengubah struktur fizikal air.

Jika diucapkan kata-kata indah dan baik seperti terima kasih, kristal air terbentuk dengan sangat cantik. Jika diucapkan dengan kata-kata buruk, kristal yang terbentuk juga buruk.

Apabila dipasang lagu simfoni Mozart, kristal muncul berbentuk bunga. Ketika muzik heavy metal diperdengarkan, kristal berubah menjadi buruk dan hancur. Ketika dibacakan doa, kristal yang terbentuk cantik dan indah.

Dean Radin, Gail Hayssen, Masaru Emoto dan Takashige Kizu telah membuat kajian saintifik berkenaan persoalan sama ada niat dapat mengubah bentuk fizikal air.

Pada 2006, Emoto telah mengetuai seramai 2,000 orang di Tokyo berdoa ke atas sampel air yang ditempatkan di California, Amerika Syarikat. Peserta ditunjukkan gambar botol air yang diletakkan di makmal IONS dan mereka diminta untuk berdoa selama lima minit.

Kesemua peserta termasuk Emoto dan Kizu tidak mengetahui bahawa terdapat juga botol air yang telah diletak di tempat lain bagi tujuan kawalan. Sampel air yang dibacakan doa serta sampel air kawalan telah dibekukan dan kristal air yang terbentuk telah dirakam.

Sebanyak 40 gambar kristal dirakam dan diberi markah oleh 100 sukarelawan yang telah dipilih secara rawak melalui internet. Penarafan adalah berdasarkan kecantikan gambar kristal air terbabit. Hasil kajian menunjukkan air yang dibacakan doa membentuk kristal yang lebih cantik.

Ternyata air mendengar dan memahami kata dan doa kita. Kerana itulah kita sebagai umat Islam antara lainnya diajar membaca doa sebelum dan sesudah makan serta minum, malah ayat al-Quran dan doa juga dibacakan pada air dengan niat sebagai penawar mahupun penerang hati.

* Dr Johari Yap ialah Naib Presiden Macma Malaysia dan Pengerusi Macma Kelantan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!