Kerangka perlindungan keselamatan sosial 24 jam diteliti

Abdul Rahman. Foto ihsan Jabatan Penerangan Malaysia
Abdul Rahman. Foto ihsan Jabatan Penerangan Malaysia
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) sedang meneliti kerangka perlindungan sosial baharu untuk memberi perlindungan keselamatan sosial 24 jam sehari dan menyeluruh di luar waktu bekerja kepada seramai 7.6 juta orang pekerja secara khusus dan rakyat Malaysia secara amnya.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, secara prinsipnya kerangka itu berupaya merapatkan jurang ketidaksaksamaan sekali gus memastikan tiada pekerja tercicir daripada mendapat perlindungan pada waktunya.

Katanya, PERKESO menyediakan Skim Bencana Pekerjaan dan Skim Keilatan yang merupakan suatu bentuk insuran perlindungan sosial kepada Orang Berinsurans yang layak di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 [Akta 4], Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 [Akta 789] dan Akta Keselamatan Sosial Suri Rumah 2022 [Akta 838].

“Faedah-faedah yang disediakan bawah Skim Bencana Kerja adalah Faedah Perubatan, Faedah Hilang Upaya Sementara, Faedah Hilang Upaya Kekal, Faedah Orang Tanggungan, Elaun Layanan Sentiasa, Faedah Pengurusan Mayat dan Kemudahan Pemulihan Jasmani atau Vokasional.

“Di bawah Skim Keilatan, faedah-faedah yang disediakan adalah Pencen Ilat, Bantuan Ilat, Elaun Layanan Sentiasa, Pencen Penakat, Kemudahan Pemulihan Jasmani, Vokasional, ‘Return To Work’, Dialisis, Faedah Pengurusan Mayat dan Faedah Pendidikan,” katanya ketika Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau berkata demikian menjawab soalan V Sivakumar (PH-Batu Gajah) mengenai bilakah skim insurans sosial komprehensif akan dilancarkan bagi melindungi pekerja berpendapatan rendah memandangkan kos sara hidup meningkat mengurangkan kemampuan mereka mendapatkan insurans kesihatan mencukupi daripada pihak swasta.

Abdul Rahman menjelaskan, skim itu turut menyediakan faedah perubatan membolehkan Orang Berinsurans yang layak mendapatkan perkhidmatan rawatan perubatan secara percuma atau secara tuntutan Bayaran Ganti Belanja berdasarkan kadar yang diluluskan oleh PERKESO.

Tambahnya, faedah tersebut tertakluk kepada Akta Fi 1951 di mana-mana klinik atau hospital kerajaan mahupun swasta yang berdaftar dengan PERKESO.

Artikel Berkaitan:

“Dengan kadar caruman yang rendah, pencarum layak mendapat faedah-faedah perubatan di bawah akta yang secara langsung dapat membantu rakyat khususnya pencarum-pencarum dalam kalangan B40,” ujar beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!