Warga emas tekad kayuh basikal ke Makkah
ALOR SETAR - Seorang warga emas berusia 71 tahun tekad untuk melakukan kayuhan basikal sejauh 6,000 kilometer (km) dari Malaysia ke Makkah bersama adik dan rakannya yang dijangka mengambil masa selama enam bulan.
Ketua Misi Kembara Berbasikal ke Makkah, Dahalan Yahaya, 71, berkata, dia melakukan kayuhan basikal itu bersama adik lelakinya, Zam, 61, dan rakannya, Ahmad Zulkifli Ahmad, 56.
Menurutnya, mereka akan melalui beberapa negara sepanjang perjalanan termasuklah merentasi sempadan Malaysia-Thailand di Danok, sebelum ke Bangkok, Thailand, India, Pakistan, Iran, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan dijanga tiba di Arab Saudi pada bulan Ramadan nanti.
"Untuk misi kayuhan ke Makkah ini, kami telah membuat latihan sejak dua tahun lepas lagi dengan berbasikal pusing (satu) Malaysia.
"Kami juga akan mengayuh (basikal) setiap hari untuk memastikan tahap stamina dan kekuatan berada pada tahap maksimum," katanya pada Majlis Pelepasan Kembara Anak Kedah ke Makkah di pekarangan Pejabat Penawar Industries Sdn Bhd (Rojam) di Shahab Perdana, di sini pada Khamis.
Pelepasan peserta dilakukan Pengasas Rojam, Shuib Mohd Isa dan diiringi Ahli Majlis Mesyuarat Persekutuan Kebangsaan Basikal Malaysia, Muhammad Sorhaizad Omar.
Sebelum itu, peserta Kembara Berbasikal Anak Kedah ke Makkah diiringi tiga yang lain termasuklah Azlan Ahmad bermula dari Alor Setar sehingga ke Bangkok, Thailand sebagai tanda sokongan kepada peserta.
Beliau menambah, mereka mendapat idea untuk berbasikal ke Makkah selepas melihat pasangan suami isteri, Ahmad Mohd Isa, 36, dan Noradilah Mohd Sapie, 37, berjaya mengayuh basikal sebanyak dua kali sehingga ke Makkah pada 2016 dan 2023.
Sementara itu, Zam berkata, dia menyertai kembara berkenaan selepas dipujuk abang ketiganya dan hanya bersetuju selepas berfikir selama beberapa bulan.
Menurut anak ketujuh daripada 12 beradik itu, mereka bertiga akan bermalam di masjid ataupun surau sepanjang misi menuju ke Makkah, namun akan memasang khemah sekiranya tiada tempat untuk bermalam.
Tambah beliau, mereka tidak boleh masuk ke Myanmar dan Bangladesh melalui jalan darat kerana pintu sempadan ditutup dan terpaksa menaiki kapal terbang ke New Delhi, India nanti.
Bagaimanapun, katanya, mereka akan meneruskan kayuhan di beberapa negara lagi seperti India, Pakistan, Iran sebelum menaiki feri untuk ke UAE dan dijangka tiba di Arab Saudi.
Menurutnya lagi, mereka telah membuat pelbagai persiapan sejak dua tahun lepas terutama dari segi kesihatan, fizikal dan mental selain dokumentasi, kayuhan serta mengkaji laluan perjalanan yang digunakan sepanjang kembara itu.
Zam berkata, mereka akan menggunakan buku log dan laluan sama digunakan seorang rakyat Malaysia yang berjaya sampai ke Makkah dengan mengayuh basikal sebelum ini.
"Kami juga akan menghubungi kedutaan Malaysia di semua negara yang terlibat untuk mendapatkan maklumat penting diperlukan," katanya.
Menurut Ahmad Mohd Isa yang berjaya menyayuh basikal sebanyak dua kali sehingga ke Makkah, dia mengambil masa sebulan untuk berkongsi pengalaman daripada aspek kewangan, pemakanan dan komunikasi kepada peserta kembara tersebut.
Katanya lagi, dia tidak mempunyai rujukan ketika melakukan kayuhan basikal ke Makkah sebelum ini bagaimanapun bersyukur buku lognya menjadi panduan kepada individu lain.
Sehubungan itu, beliau berharap, kayuhan basikal ke Makkah dilakukan memberi inspirasi kepada masyarakat untuk menunaikan umrah dan haji pada usia muda dengan apa cara sekalipun.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!