Nidzam bangga persembahan pemain muda tempatan
PENGENDALI Selangor FC, Nidzam Jamil memuji persembahan dipamerkan pemain muda Gergasi Merah selepas berjaya mencipta kejutan ke atas kelab Korea Selatan, Jeonbuk Hyundai Motors FC, 2-1 dalam aksi Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada Rabu.
Menurut Nidzam, para pemain muda Selangor menunjukkan persembahan yang baik untuk menutup kelompangan selepas kehilangan ramai tonggak utama seperti Noor Al-Rawabdeh, Alvin Fortes, Safuwan Baharudin dan Mukhairi Ajmal yang mengalami kecederaan.
"Saya gembira dengan pemain muda tempatan kita. Mereka banyak belajar daripada pemain senior seperti Ali Olwan dan Noor.
"Tetapi, malam ini pemain seperti Muhammad Azim Al Amin, Harith Haiqal, Zikri Khalili, Quentin Cheng dan Nooa Laine yang tunjukkan persembahan baik.
"Kita cuba dapatkan keputusan yang baik dan dalam masa sama membina pemain muda ini kerana mereka masa depan Selangor. Saya juga mengharapkan keputusan yang baik ini dapat diteruskan dalam perlawanan akan datang," katanya dalam sidang media selepas perlawanan.
Dalam perlawanan itu, Selangor meledak dua gol dalam tempoh dua minit menerusi Harith Haiqal pada minit ke-30 disusuli gol Ali (m-32) manakala gol Jeonbuk pula dijaringkan Kwon Chang-hoon pada m-40.
Kemenangan itu meletakkan Selangor di kedudukan teratas kumpulan H dengan tujuh mata dibezakan satu mata dengan Jeonbuk di kedudukan kedua.
Dalam pada itu, Nidzam turut melihat disiplin ditunjukkan para pemain menjadi antara senjata utama untuk menumbangkan antara pasukan terkuat dalam kumpulan itu.
"Pemain bermain berdasarkan perancangan taktikal dan kita cukup berdisiplin. Kita cuba untuk memahami apa yang diperlukan di peringkat Asia dan saya gembira dengan apa yang telah ditunjukkan pemain," katanya.
Sementara itu, penjaring gol kedua Selangor, Ali percaya kemenangan tersebut hasil kerja berpasukan selain berterima kasih kepada penyokong yang terus memberikan sokongan.
"Saya percaya Selangor mampu meneruskan persembahan cemerlang ini dan terus berada di kedudukan teratas kumpulan. Kita yakin untuk mara ke pusingan seterusnya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!