'Hanyut cinta teman lelaki punca saya ditangkap khalwat'
SABAK BERNAM - Seorang wanita penuntut tahun akhir sebuah institut pengajian tinggi (IPT) swasta mengakui sesal dalam diri selepas dicekup berkhalwat dengan teman lelakinya dalam sebuah kereta pada pertengahan tahun ini.
Dia yang hanya mahu dikenali sebagai Nur, 24, berkata, segalanya bermula apabila terlalu percayakan lelaki terbabit yang juga rakan sekelasnya di universiti.
"Saya akui dia lelaki pertama dicintai, namun malangnya saya lupa batas agama hinggakan kami ditangkap khalwat," katanya.
Terdahulu, Nur dianugerahkan sebagai pelatih harapan pada Majlis Apresiasi Pelatih Pusat Perlindungan Wanita Baitul Ehsan 2024 di sini pada Khamis.
Nur yang juga penuntut ijazah sarjana muda dalam jurusan syariah perundangan memberitahu, kejadian dia dicekup amat memalukan, namun tidak mahu menoleh ke belakang, sebaliknya bangkit untuk menjadi insan lebih baik.
"Kami ditangkap bersekedudukan di dalam kereta di kawasan asrama selepas pulang dari makan malam.
"Saya akui, kejadian ini kali pertama saya keluar dengan teman lelaki, tetapi perancangan ALLAH itu terbaik apabila ditangkap untuk menyedarkan saya tentang dosa dilakukan.
"Waktu itu, seluruh jiwa saya jadi kelam dan hanya teringatkan keluarga serta pengajian yang masih belum tamat," jelasnya.
Bercita-cita mahu menjadi peguam syarie suatu hari nanti, Nur memberitahu, dia mengambil keputusan untuk memperbaiki diri di Rumah Perlindungan Wanita Baitul Ehsan, di sini.
"Saya tekad hendak berubah dan menyesal dengan apa yang dilakukan sebelum ini.
"Saya bersyukur kerana keluarga sentiasa memberikan sokongan dan motivasi berterusan sepanjang berada di sini," katanya yang turut cemerlang dalam pelajaran apabila memperoleh purata nilai gred kumulatif (PNGK) semasa 3.75.
Nur memberitahu, fokusnya pada masa ini adalah untuk terus berubah menjadi insan lebih baik dan menyambung pengajiannya yang tertangguh.
"Emak selalu mengingatkan saya menjadi baik seperti masa lalu dan mengikut aturan agama.
"Alhamdulillah, di rumah perlindungan ini saya dapat kekuatan untuk menjadi insan lebih baik dengan mengikuti pengajian dan kelas fardu Ain," ujarnya.
Sementara itu, seorang bekas pelatih dikenali sebagai Siti, 29, menasihatkan generasi muda mengelak daripada terjebak dengan masalah sosial.
Ujarnya, setiap manusia ada melakukan kesalahan, namun jangan pernah putus asa untuk berubah ke arah kebaikan.
“Saya bersyukur dapat mengikuti pembelajaran di Baitul Ehsan, malah masih segar diingatan pengalaman dilalui di pusat perlindungan ini.
"Di sini, saya dapat menunaikan solat berjemaah, mengaji dan belajar ilmu agama selama enam bulan, semua itu saya amalkan bersama keluarga selepas keluar pada 2016.
“Saya ditangkap khalwat bersama teman lelaki ketika masih menuntut pada tahun akhir pengajian.
"Teman lelaki belajar di tempat sama dan selepas kejadian itu, kami kesal dan nekad untuk sama-sama berubah," jelas ibu kepada tiga anak yang juga penerima Anugerah Khas dalam majlis itu.
Dalam pada itu, Timbalan Setiausaha (Operasi) Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Dr Norzaihan Mohd Zain menggesa masyarakat supaya tidak memberikan persepsi negatif terhadap pelatih yang menjalani atau keluar dari pusat perlindungan seperti di Baitul Ehsan.
Menurutnya, kesemua pelatih sangat komited membina kehidupan lebih baik, diterima masyarakat dan bertekad tidak mahu mengulangi kesilapan masa lalu.
“MAIS juga dari semasa ke semasa memberi penerangan kepada masyarakat, siapa asnaf riqab, siapa yang membantu mereka, kita juga berpesan kepada masyarakat supaya tidak meminggirkan mereka di sini,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!