Buat hantaran jelik terhadap kanak-kanak, Adeline Chang didenda RM7,000

Adeline hadir ke Mahkamah Sesyen Sepang pada Khamis bagi menghadapi satu pertuduhan membuat hantaran jelik di Facebook.
Adeline hadir ke Mahkamah Sesyen Sepang pada Khamis bagi menghadapi satu pertuduhan membuat hantaran jelik di Facebook.
A
A
A

SEPANG - Tindakan seorang wanita, Adeline Chang yang membuat hantaran jelik di Facebook terhadap seorang kanak-kanak lelaki lima tahun mengundang padah apabila Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis, menjatuhinya hukuman denda sebanyak RM7,000.

Adeline atau nama sebenarnya Chang Pei Yi, 24, selaku orang kena saman (OKS) dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibaca dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim, Ahmad Fuad Othman.

Mahkamah memerintahkan wanita bujang itu dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda tersebut.

Sebelum menjatuhi hukuman itu, hakim berkenaan menasihati OKS supaya mengingati kedudukannya sebagai seorang pempengaruh, dengan membuat hantaran yang murni sahaja.

“Kamu menyentuh isu kanak-kanak dengan menggunakan perkataan jelik, telah menimbulkan rasa kurang senang terhadap pihak yang dituduh.

“Walaupun kamu kata, wujud masalah peribadi berhubung isu hutang, namun jika membuat komen sebegitu, ia menyentuh maruah kanak-kanak dan keluarga terbabit,” katanya.

Ahmad Fuad turut menasihati wanita berkenaan supaya tidak memanjangkan isu peribadi kerana boleh memberi kesan jangka panjang kepada orang yang tidak berdosa terutama dalam kes ini melibatkan seorang budak.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa menggunakan perkhidmatan aplikasi Facebook ‘Adeline Chang’, secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi iaitu gambar berserta teks dalam bahasa Mandarin yang jelik, dengan niat menyakiti hati orang lain, pada jam 11 malam, 30 Mei lalu.

Artikel Berkaitan:

Hantaran itu dilihat pada jam 8 pagi 1 Jun lalu di Menara 1 MCMC, Cyberjaya dan pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang boleh dihukum bawah Seksyen 233(3) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya dan denda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Mengikut fakta kes, Adeline membuat hantaran jelik itu berikutan mempunyai perselisihan faham dengan ibu kanak-kanak itu.

Semasa prosiding, Pegawai Pendakwa, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Nazrul Nizam Mohd Zameri memohon Adeline dikenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran kerana kesalahan yang dilakukan disifatkan sebagai pembuli siber.

"Perbuatan tertuduh meletakkan gambar kanak-kanak dan mengatakan mangsa adalah anak hasil luar pernikahan adalah tidak wajar dan perlu dipandang serius,” katanya.

Bagaimanapun, peguam, Muhammad Rhastdan Abdul Wahab yang mewakili Adeline merayu anak guamnya dikenakan hukuman denda minimum kerana tidak mempunyai pendapatan tetap.

"Dia hanya memperoleh pendapatan menerusi ‘review’ barangan secara dalam talian.

“Anak guam juga mempunyai penyakit tiroid dan kini menerima kaunseling berkala untuk rawatan psikologi,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!