'Suap' polis RM200, peniaga warga Pakistan didenda RM5,000

Gul Siraj dibawa ke Mahkamah Sesyen Kota Bharu untuk pertuduhan.
Gul Siraj dibawa ke Mahkamah Sesyen Kota Bharu untuk pertuduhan.
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang peniaga warga Pakistan didenda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas kesalahan memberi suapan wang tunai sebanyak RM200 kepada seorang pegawai polis berpangkat inspektor.

Hakim Zulkifli Ablah menjatuhkan hukuman itu terhadap Gul Siraj, 51, selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan yang dikemukakan pendakwaan.

Tertuduh bagaimanapun boleh dipenjara selama 21 hari jika gagal membayar denda berkenaan.

Lelaki itu didakwa melakukan kesalahan tersebut pada 21 Oktober lepas kira-kira jam 9.30 pagi di Kampung Tok Bok, Kuala Krai.

Mengikut pertuduhan pilihan, tertuduh didakwa memberi suapan wang sebanyak RM200 kepada pegawai terbabit ketika pemeriksaan dilakukan di premisnya supaya tidak menahan pekerjanya yang juga seorang warga Pakistan.

Ketika pemeriksaan yang dilakukan pegawai terbabit, pekerja tertuduh didapati menyalahgunakan permit kerja.

Gul Siraj didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 214 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama.

Sebelum itu, tertuduh yang diwakili peguambela, Mohd Azrul Hasyimi Mohammad memohon hukuman ringan berikutan kerjasama yang diberikan selain telah insaf dan tidak akan mengulangi kesalahan berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa, Nur Dalilah MD Daud dan Nor Ermi Yasmin Abd Momen.

Tertuduh kemudian membayar denda berkenaan,

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!