Penganggur didakwa rompak 4 wanita termasuk warga asing
KUALA LUMPUR - Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di tiga Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan merompak empat wanita termasuk warga emas dan rakyat asing, antara Februari dan Oktober ini.
Di hadapan Hakim Egusra Ali, M Thanabalan, 38, didakwa meragut beg tangan seorang wanita warga emas berusia 78 tahun sehingga mendatangkan kecederaan terhadap mangsa di tepi Jalan Limau, Bangsar Brickfields di sini pada jam 7.30 pagi, 7 Oktober lepas.
Sementara di hadapan Hakim Siti Shakirah Mohtarudin, lelaki itu turut didakwa merompak wang RM3,500 milik Nurfarah Hazwani Ahmad Zaidi, 29, berhampiran menara berkembar Bank Rakyat, Brickfields pada 7.40 pagi, 12 Februari lepas.
Kedua-dua pertuduhan itu mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.
Di hadapan Norina Zainol Abidin, tertuduh didakwa merompak seorang lagi wanita tempatan Rebecca Matthews, 20, dengan mengambil barang peribadi miliknya termasuk iPad, kad debit dan wang tunai yang mengakibatkan kerugian RM3,000 di hadapan sebuah stesen minyak di Jalan Tun Sambanthan, Brickfields di sini pada jam 6.15 pagi, 7 Oktober lepas.
Di mahkamah sama, dia turut berdepan pertuduhan merompak wang tunai RM885 milik wanita warga Korea, Lee Hyeonjoo berhampiran sebuah kondominium di Brickfields di sini pada jam 6.50 pagi, 18 Mac lepas.
Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 14 tahun dan denda atau sebat jika sabit kesalahan.
Tiada jaminan diberikan kepada tertuduh dan sebutan kes bagi serahan dokumen ditetapkan pada 25 dan 28 November ini.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nadia Eleena Jamaluddin Akbal, Nidzuwan Abd Latip dan Joshua Tee Yee Khuan manakala tertuduh tidak diwakili peguam. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!