Hapus subsidi petrol, beri bantuan tunai - CAP

Mohideen
Mohideen
A
A
A

GEORGE TOWN - Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa agar subsidi petrol RON95 dihapuskan dan kerajaan perlu membantu golongan berpendapatan rendah dengan bantuan tunai.

Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, dua formula harga untuk RON95 adalah bermasalah dan terdedah kepada penyalahgunaan.

"Penyasaran subsidi petrol dilihat akan mendatangkan masalah dan kita menggesa agar subsidi petrol dihapuskan terus. Bagi membantu golongan berpendapatan rendah, kerajaan boleh menyalurkan bantuan tunai kepada mereka.

"Itu akan memudahkan sistem untuk menyediakan bantuan kewangan kepada individu yang memerlukan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Sebelum ini, kerajaan bercadang melaksanakan penyasaran subsidi petrol RON95 pada pertengahan 2025.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut memberi jaminan 85 peratus rakyat terdiri daripada golongan B40, M40 dan penjawat awam tidak akan terjejas dengan penyasaran subsidi petrol RON95 tersebut.

Dalam pada itu, CAP turut memuji kerajaan dalam pelaksanaan dasar untuk membantu golongan yang memerlukan dan mengenakan cukai kepada golongan kaya dalam pembentangan Belanjawan 2025 baru-baru ini.

Jelas Mohideen, CAP mengalu-alukan langkah-langkah yang digariskan dalam Belanjawan Negara 2025, yang bertujuan untuk memperkukuhkan ekonomi yang lemah sejak berdekad akibat pergantungan kepada import, dasar pertanian yang cacat, rasuah dan pelaksanaan program yang lemah.

Artikel Berkaitan:

"Peruntukan belanjawan bagi perbelanjaan mengurus ialah RM335 bilion dan RM86 bilion bagi perbelanjaan pembangunan.

"Kerajaan perlu memantau dengan rapi untuk memastikan dana yang diperuntukkan untuk pelbagai projek dan program itu dibelanjakan dengan cekap untuk mencapai sasarannya," katanya.

Tambah beliau, Laporan Ketua Audit Negara sebelum ini mendedahkan perbelanjaan dan ketirisan yang boleh dipersoalkan, yang jika dihalang boleh meningkatkan kesan yang diharapkan daripada projek-projek ini.

"Pengawasan yang rapi adalah penting untuk memastikan dana digunakan dengan berkesan dan telus," kata beliau.

Ujarnya, peruntukan belanjawan untuk menaikkan gaji minimum pekerja daripada RM1,500 kepada RM1,700 sudah lama tertangguh.

"Ia mesti menjadi langkah pertama ke arah gaji sara hidup pekerja di bandar sekarang iaitu kira-kira RM2,700. Para pekerja kini dibayar gaji yang rendah, iaitu hanya 32.4 peratus daripada pendapatan syarikat, jauh di bawah purata global 40 peratus dan sasaran rangka kerja Ekonomi Madani sebanyak 45 peratus dalam tempoh 10 tahun.

"Ketidakseimbangan ini memberi kesan yang tidak seimbang kepada pekerja separa mahir dan rendah, yang mana gaji mereka tidak selaras dengan inflasi," katanya.

Mohideen berkata, gaji minimum semasa RM1,500 adalah tidak mencukupi, terutama selepas potongan mandatori bagi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) selain ia tidak mengikuti inflasi.

"Cadangan kenaikan itu merupakan satu langkah yang perlu untuk memastikan kehidupan pekerja. Satu aspek positif ialah keputusan untuk tidak mengenakan cukai jualan ke atas barangan makanan asas, manakala barangan import premium seperti salmon dan avokado akan dikenakan cukai.

"Ini adalah langkah berhemat untuk mengurangkan pengaliran keluar ringgit dan menggalakkan penggunaan hasil tempatan yang akan mengukuhkan ekonomi domestik.

"Bagaimanapun, dasar ini mesti disokong oleh usaha bersepadu untuk meningkatkan pengeluaran pertanian dan pengeluaran makanan melalui pelbagai dana dan insentif," katanya.

Selain itu katanya, peruntukan RM27 juta untuk memberi insentif kepada petani dan penternak bagi meningkatkan pengeluaran lembu, kambing, biri-biri dan bawang seharusnya menyumbang kepada keselamatan makanan dan autonomi negara.

"RM27 juta juga telah diperuntukkan kepada Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) untuk menghapuskan kartel dalam sektor pertanian.

"Kawalan kartel terhadap pengeluaran dan pengedaran makanan mestilah dihapuskan bagi memastikan harga makanan yang mampu bagi rakyat," tambahnya.

Beliau berkata, peruntukan RM45.3 bilion sepatutnya membantu mengurangkan tekanan ke atas hospital awam dan meningkatkan perkhidmatan mereka sekiranya digunakan secara produktif.

"Mengenakan bayaran ke atas golongan kaya yang mendapatkan rawatan di hospital awam adalah wajar.

"Tumpuan penjagaan kesihatan seharusnya tertumpu kepada pencegahan penyakit dan bukan sekadar penyembuhan," katanya lagi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!