[VIDEO] Kejohanan Muaythai Kuda Merah janji pertarungan kompetitif

A
A
A

KEJOHANAN Grand Final Kuda Merah International Muaythai Challenge 2024 di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur bulan depan meneruskan tradisi 75 tahun penganjuran menerusi saingan yang lebih sengit dan kompetitif.

Presiden Kelab Muay Thai Kuda Merah, Rosli Yaacob berkata, pengunjung bakal disajikan dengan pertarungan 26 petinju hebat dari 10 buah negara termasuk tuan rumah, Malaysia berentap merebut gelaran King of The Ring.

Malah lebih menarik, beliau berkata, sebanyak 13 tali pinggang kejuaraan yang ditawarkan adalah sangat berprestij sejak penganjuran kejohanan tersebut lebih tujuh dekad lalu.

Rosli
Rosli

Tambah beliau, para penonton juga bakal menyaksikan penampilan istimewa petinju bertaraf dunia dari Thailand, Rodtang Jitmuangnon yang pertama kali datang ke kejohanan muaythai di negara ini.

“Keistimewaan kejohanan kali ini ialah melibatkan pertembungan antara negara berbanding sebelum ini membabitkan kelab.

“Penganjur juga mendapat sokongan penuh daripada Tourism Malaysia serta beberapa rakan strategik lain.

Artikel Berkaitan:

Rosli (empat dari kiri) dan Mohd Amirul Rizal menunjukkan tali pinggang berprestij yang bakal menjadi rebutan petinju pada Kejohanan Grand Final Kuda Merah International Muaythai Challenge 2024. Foto Sinar Harian-MOHD HALIM ABDUL WAHID
Rosli (empat dari kiri) dan Mohd Amirul Rizal menunjukkan tali pinggang berprestij yang bakal menjadi rebutan petinju pada Kejohanan Grand Final Kuda Merah International Muaythai Challenge 2024. Foto Sinar Harian-MOHD HALIM ABDUL WAHID

“Kebiasaannya dalam satu kejohanan itu hanya ada satu atau dua tali pinggang dipertandingkan, tetapi kejohanan ini menawarkan 13 tali pinggang termahal dalam sejarah penganjurannya," katanya pada sidang media di Kompleks Karangkraf, Shah Alam pada Khamis.

Turut hadir, Penasihat Bersama Kumpulan Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah dan Pengarah Bahagian Digital dan Pengiklanan Tourism Malaysia, Mohd Amirul Rizal Abdul Rahim.

Selain Malaysia, sembilan lagi negara yang mengambil bahagian ialah Thailand, Kemboja, Iran, Indonesia, Singapura, Yemen, Filipina, Afghanistan dan Laos dalam kejohanan selama dua hari bermula 16 November ini.

Rosli menjelaskan, petinju yang dipilih menyertai kejohanan tersebut melalui tapisan yang ketat bagi memastikan pertarungan yang seimbang dan adil.

Sebanyak 13 tali pinggang berprestij yang menjadi rebutan 26 petinju pada Kejohanan Grand Final Kuda Merah International Muaythai Challenge 2024. Foto Sinar Harian-MOHD HALIM ABDUL WAHID
Sebanyak 13 tali pinggang berprestij yang menjadi rebutan 26 petinju pada Kejohanan Grand Final Kuda Merah International Muaythai Challenge 2024. Foto Sinar Harian-MOHD HALIM ABDUL WAHID

Malah beliau berkata, para petinju yang dipilih mewakili Malaysia mengambil serius kejohanan berkenaan apabila memulakan latihan sejak tiga bulan lalu.

“Bagi mengenal pasti petinju yang layak, pemilihan dibuat menerusi fizikal, berat badan dan ketinggian.

“Malah sehari sebelum pertandingan petinju akan menjalani proses timbang berat badan sekali lagi bagi memastikan ia adil dan tidak memihak," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!