KPKM siasat dakwaan kilang padi tukar beras tempatan kepada beras import

Arthur Joseph Kurup pada Persidangan Dewan Rakyat sempena Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen hari ini. Foto Bernama
Arthur Joseph Kurup pada Persidangan Dewan Rakyat sempena Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen hari ini. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan mewujudkan satu peraturan baharu bagi memastikan tiada penyelewengan terhadap bekalan beras putih tempatan negara.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan terhadap ke atas beberapa kilang padi yang didakwa menukar beras tempatan kepada beras import.

"Pertamanya kita kena siasat dulu, minta bahagian kawal selia padi dan beras dan sebagainya untuk pergi ke kilang-kilang padi ini melawat, adakah betul bahawa tuduhan ada campuran antara beras putih tempatan dan beras import berlaku.

"Sekiranya berlaku kita perlu mewujudkan peraturan yang baharu untuk memastikan bahawa beras putih tempatan mesti ada bekalan, akses untuk memenuhi keperluan rakyat Malaysia,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Mohd Misbahul Munir Masduki (PN-Parit Buntar) yang ingin tahu sama ada kerajaan memantau kilang pengeluar padi di seluruh negara bagi mengesan padi tempatan yang didakwa ditukar menjadi beras import dan sekiranya dakwaan itu berlaku apakah tindakan terhadap kilang padi berkenaan.

Menjawab soalan asal Mohd Misbahul Munir mengenai usaha kementerian dalam mengatasi masalah kekurangan beras putih tempatan di pasaran, Arthur berkata, pihaknya sentiasa berusaha dengan pelbagai pendekatan bagi memastikan keberadaan bekalan beras putih tempatan di pasaran mampu untuk memenuhi keperluan pengguna.

Beliau berkata, antara pendekatan diambil pihaknya adalah mengedar beras putih tempatan melalui program jualan dan rangkaian di bawah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) serta rantaian pasar raya terpilih.

"KPKM sentiasa memberi perhatian terhadap isu kekurangan bekalan beras putih tempatan di pasaran yang melanda negara sejak 2023.

Artikel Berkaitan:

"Bermula Jun 2023 hingga 19 September 2024, sebanyak enam juta kampit beras putih tempatan 10 kilogram telah diedarkan oleh FAMA, LPP dan pemborong,” katanya.

Dalam usaha menangani isu keberadaan beras putih tempatan di pasaran, Arthur berkata KPKM kini giat melaksanakan rombakan strategi melalui pelaksanaan reformasi industri padi dan beras antaranya pemantapan tatakelola melalui pengasingan kuasa melibatkan Bahagian Pembangunan Industri Padi (PIP), Kawalselia Padi Beras (KPB) dan wakil kerajaan dalam Padiberas Nasional Berhad (Bernas).

Menjawab soalan tambahan Mohamad Shafizan Kepli (GPS-Batang Lupar), beliau berkata, kerajaan Persekutuan sentiasa menyokong pembangunan jelapang padi di Sarawak dan mencari peruntukan bagi membantu meningkatkan potensi kerajaan negeri dalam menyumbang kepada keterjaminan makanan negara.

"Kementerian menyambut baik dan mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Sarawak kerana telah mengumumkan pelaburan sebanyak RM500 juta untuk tingkatkan pengeluaran hasil padi dan beras di Sarawak.

"Isu ini perlu kerjasama daripada kerajaan negeri khususnya dalam menyediakan tanah-tanah supaya kerajaan Persekutuan boleh bekerjasama dengan kerajaan negeri tingkatkan hasil pertanian khususnya padi dan beras negara,” katanya.

Mohamad Shafizan ingin tahu maklum balas kerajaan Persekutuan dan KPKM terhadap permintaan kerajaan Sarawak yang mengharapkan tambahan RM500 juta bagi pembangunan jelapang padi di negeri itu. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!