1MDB: Najib minta maaf kepada rakyat Malaysia

Mohamad Nizar ketika sidang akhbar di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada Khamis. FOTO SINAR HARIAN-MOHAMAD HISYAMUDDIN AYUB
Mohamad Nizar ketika sidang akhbar di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada Khamis. FOTO SINAR HARIAN-MOHAMAD HISYAMUDDIN AYUB
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Seminggu sebelum Mahkamah Tinggi di sini memutuskan sama ada Datuk Seri Najib Tun Razak bersalah atau dibebaskan atas pertuduhan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB), bekas Perdana Menteri itu membuat permohonan maaf secara terbuka kepada rakyat Malaysia menerusi kenyataan dibacakan anaknya, Datuk Mohamad Nizar di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada Khamis.

Ia berhubung salah laku yang berlaku dalam 1MDB terutama ketika di bawah pengawasannya selaku Menteri Kewangan dan Perdana Menteri.

Mohamad Nizar, 46, berkata, setiap hari bapanya berasa amat terluka apabila mengetahui kecurangan yang berlaku dalam syarikat strategik negara terbabit, terjadi semasa di bawah pengawasannya sebagai menteri.

No Image Caption

“Tiada lain yang dapat bapa saya nyatakan selain memohon maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia.

“Saya hanya membaca isi hati ayahanda, beliau sangat terkejut apabila mengetahui kepincangan tidak bermoral dan perlanggaran undang-undang berlaku dalam 1MDB.

“Najib telah pun dihukum dari segi politik, walaupun dengan jelas bapa saya bukan dalang kepada segala penyelewengan dalam 1MDB.

“Beliau tidak pernah sekalipun bersubahat dengan Jho Low (ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho), justeru, bapa saya tidak sepatutnya menjadi mangsa dari segi undang-undang,” katanya ketika sidang akhbar berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Peramu Jaya itu berkata, tidak adil sekiranya kesalahan itu dipertanggungjawabkan ke atas bahu bapanya, bagi perkara yang tidak beliau mulakan atau sengaja benarkan.

Mohamad Nizar berkata, tidak adil sekiranya kesalahan itu dipertanggungjawabkan ke atas bahu bapanya, bagi perkara yang tidak beliau mulakan atau sengaja benarkan. FOTO SINAR HARIAN
Mohamad Nizar berkata, tidak adil sekiranya kesalahan itu dipertanggungjawabkan ke atas bahu bapanya, bagi perkara yang tidak beliau mulakan atau sengaja benarkan. FOTO SINAR HARIAN

Beliau berkata, walaupun jelas bapanya bukan dalang di 1MDB dan tidak pernah bersekongkol dengan Jho Low, namun Najib, 71, telah dihukum atas tanggungjawab yang dipikul.

Pemimpin Barisan Nasional itu berkata, bekas Ahli Parlimen Pekan berkenaan tidak sepatutnya menjadi mangsa undang-undang.

Mohamad Nizar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi Dan Inovasi Pahang berkata, sepanjang Najib menjalani hukuman penjara selama 26 bulan, beliau terpanggil untuk membuat kenyataan itu susulan pelbagai perkembangan terkini yang signifikan berkaitan dengan 1MDB.

“Perbicaraan mahkamah dan sabitan kes terhadap eksekutif PetroSaudi di Mahkamah Switzerland termasuk artikel yang diterbitkan sebuah portal, sekali lagi membuktikan bahawa bapa saya bukanlah dalang dan tidak bersubahat dengan Jho Low untuk menyeleweng dana 1MDB.

“Rumusan daripada artikel itu menyatakan, PetroSaudi dan Jho Low bersubahat untuk memperdayakan bapa saya.

“Beliau tidak sedar bahawa PetroSaudi telah mengalihkan dana 1MDB dan Najib tidak langsung mengetahui bahawa beliau telah menerima wang.

“Walaupun sukar bagi sesetengah pihak untuk memahami, bapa saya telah dinasihati dan mempercayai bahawa, ketika itu dana diterima merupakan sumbangan politik daripada Kerajaan Arab Saudi.

“Memang ada dua sumbangan besar yang disahkan pada tahun 2010 diterima daripada Kerajaan Arab Saudi namun, ia tidak pernah menjadi subjek dalam mana-mana prosiding jenayah atau sivil,” kata anak sulung Najib itu.

No Image Caption

Mohamad Nizar berkata, apabila berlakunya kebimbangan dan pelbagai pihak mula mempersoalkan isu yang berlaku di 1MDB, bapanya menyatakan, beliau sepatutnya mengambil tindakan yang berbeza.

Ujarnya lagi, Najib telah mengarahkan pelbagai siasatan dijalankan namun bekas Presiden UMNO itucenderung untuk mempercayai penjelasan oleh lembaga pengarah dan pihak pengurusan 1MDB.

“Apabila bapa saya mula curiga tentang perkara yang sebenarnya berlaku, kebimbangan utamanya adalah kepada usaha memulihkan kedudukan kewangan dan risiko yang ditimbulkannya terhadap hubungan diplomatik serta dua hala di peringkat tertinggi,” katanya.

Susulan itu, beliau berkata, Najib berharap serta berdoa, proses keadilan akan memihak dan membuktikan beliau tidak bersalah.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!