[VIDEO] Kerajaan masih berfikiran pembangkang, laksana dasar bercelaru - Radzi Jidin

A
A
A

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Mohd Radzi Md Jidin mendakwa kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim masih berfikir seperti pembangkang kerana melaksanakan dasar yang bercelaru, khusus mengenai takrifan kategori golongan T15.

Beliau berkata, sifat tersebut perlu dihentikan kerana dibimbangi memberi kesan negatif apabila melihatkan kerajaan merangka dasar yang tidak jelas.

Mohd Radzi Md Jidin
Mohd Radzi Md Jidin

“Kelemahan kerajaan pada hari ini adalah mereka masih berfikir sebagai pembangkang bukan sebagai kerajaan. Bila berfikir seperti kerajaan seperti dulu macam-macam janji boleh dibuat, macam-macam nak buat akhirnya tidak buat.

“Jadi perangai itu terbawa-bawa dalam pelaksanaan dasar kerajaan, ini perkara berbahaya kepada kerajaan. Oleh itu saya mohon kepada kerajaan hentikanlah kecelaruan dasar ini.

“Saya tidak faham, apa syok sangatkah umum perkara tidak menentu ini? Ini bukan sahaja ‘flip-flop’, ini pusingan ‘roundabout’ dah, pusing pusing benda yang sama tanpa satu penjelasan yang jelas,” katanya ketika sesi perbahasan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat pada Khamis.

Sementara itu, Mohd Radzi turut menyelar Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli yang menyatakan bahawa ‘beliau tidak fikir bahawa kerajaan akan menggunakan pendapatan isi rumah seperti sekarang’.

“Memerintah negara menjadi kerajaan mana boleh main rasa-rasa, main tidak fikir, mana boleh kita rasa, kita akan, kita fikir, kita lihat. Perkara ini telah diumumkan kepada rakyat.

Artikel Berkaitan:

“Sebab itu banyak perkara prosesnya terlalu bercelaru kemudian apabila ditanya soalan kepada Perdana Menteri berkaitan miskin tegar pada 22 Oktober lalu, ketika menjawab beliau sebut kerajaan merubah pendekatan menentukan miskin tegar dengan merujuk pendapatan isi rumah berkapita iaitu jumlah pendapatan isi rumah dibahagikan dengan bilangan isi rumah, ini sudah lain pula,” ujarnya.

Tegasnya, sebelum mengumumkan dasar yang melibatkan rakyat kerajaan patut membuat keputusan dengan sejelas-jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!