Rogol anak tiri hingga lahirkan bayi, pemandu van dijel 10 tahun, sebat

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang pemandu van dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun dengan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini, selepas mengaku bersalah merogol anak perempuan tirinya sehingga mengandung dan melahirkan seorang bayi, tahun lepas.

Hakim Tasnim Abu Bakar menjatuhkan hukuman terhadap lelaki berusia 59 tahun itu dan memerintahkannya menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh dia dituduh di mahkamah, iaitu 11 Oktober.

Tertuduh juga diperintahkan untuk menjalani sesi kaunseling selama tempoh pemenjaraan dan pengawasan polis selama dua tahun, selepas selesai menjalani hukuman.

Lelaki berkenaan didakwa merogol kanak-kanak perempuan berusia 13 tahun itu di sebuah unit pangsapuri di Setapak Jaya, Wangsa Maju di sini pada 4 petang, 10 September 2023, mengikut Seksyen 375(g) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah 376(2)(d) kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara minimum 10 tahun dan maksimum 30 tahun dengan sebatan.

Mengikut fakta kes, satu laporan polis dibuat pegawai perubatan sebuah hospital selepas mangsa mendapatkan rawatan haid tidak teratur. Hasil pemeriksaan mendapati mangsa telah mengandung dan usia kandungannya pada ketika itu ialah 19 minggu.

Kanak-kanak itu memberitahu bahawa dia telah dirogol oleh bapa tirinya semasa berada di rumah mereka dan mangsa memaklumkan perkara itu, kerana mahu mendapatkan perlindungan serta takut hal tersebut diketahui oleh ahli keluarga lain.

Mangsa kemudian melahirkan seorang bayi dan keputusan ujian Asid deoksiribonukleik (DNA) menunjukkan tertuduh adalah bapa kandung kepada bayi tersebut.

Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nursyuhada Abd Rauf memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh, mengambil kira perbuatan tertuduh telah mendatangkan trauma kepada mangsa.

Artikel Berkaitan:

"Perbuatan tertuduh telah menyebabkan mangsa melahirkan seorang bayi sehingga kanak-kanak itu tidak ke sekolah kerana malu, serta perlu melalui proses pemulihan yang lama selepas bersalin,” katanya.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan, atas alasan dia menanggung keluarga serta mempunyai penyakit buah pinggang dan sakit lutut.

"Saya mempunyai seorang isteri yang merupakan orang kurang upaya (OKU) serta seorang anak autisme. Hanya saya seorang sahaja yang menanggung keluarga...saya minta maaf,” katanya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!