Salmonela punca lebih 100 pelanggan keracunan makanan di Pengkalan Chepa

JKNK mengesahkan kes keracunan makanan di sebuah restoran di Pengkalan Chepa berpunca daripada bakteria salmonela. Foto hiasan
JKNK mengesahkan kes keracunan makanan di sebuah restoran di Pengkalan Chepa berpunca daripada bakteria salmonela. Foto hiasan
A
A
A

KOTA BHARU - Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) mengesahkan keracunan makanan di sebuah restoran di Pengkalan Chepa berpunca daripada bakteria salmonela.

Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, wabak itu diisytihar kira-kira jam 2 petang, Sabtu lalu.

Beliau memberitahu, makanan berasaskan ayam tandoori disyaki mengandungi bakteria berkenaan dan dimakan pada Khamis lepas antara jam 8 malam hingga 11 malam.

"Simptom utama yang dialami mereka ialah cirit birit, sakit perut, pening dan demam," katanya melalui kenyataan pada Khamis.

Beliau turut memberitahu, ada juga pelanggan yang mengalami muntah dan loya selepas menikmati hidangan di restoran berkenaan.

Sebelum ini, JKNK menerima notifikasi kejadian keracunan makanan daripada klinik swasta dan hospital kerajaan pada 18 Oktober melibatkan pelanggan di sebuah restoran di Pengkalan Chepa.

Dr Zaini menjelaskan sehingga jam 2 petang hari ini, sejumlah 108 kes dikesan dengan gejala seperti cirit-birit, sakit perut, demam, pening, dan muntah.

Tambah beliau, sebanyak 18 kes dimasukkan ke wad Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) dan beberapa hospital swasta.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun katanya, sembilan kes telah discaj daripada wad dan sembilan lagi masih dalam rawatan.

"Sebanyak 50 kes lagi dirawat sebagai pesakit luar dan 40 kes tidak mendapatkan rawatan. Kesemua kes berada dalam keadaan stabil, serta tiada kematian dilaporkan," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!