Itu video kes lama - Polis

Polis mengesahkan satu klip video memaparkan kejadian penderaan seorang kanak-kanak berusia tiga tahun yang tular di media sosial adalah kejadian lama. Gambar hiasan
Polis mengesahkan satu klip video memaparkan kejadian penderaan seorang kanak-kanak berusia tiga tahun yang tular di media sosial adalah kejadian lama. Gambar hiasan
A
A
A

KEPALA BATAS - Polis mengesahkan satu klip video memaparkan kejadian penderaan seorang kanak-kanak berusia tiga tahun yang tular di media sosial adalah kejadian lama.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Anuar Abdul Rahman berkata, klip video berdurasi enam saat itu didapati kembali tular pada Khamis di Facebook.

Menurutnya, hasil semakan mendapati video tersebut berkaitan dengan kes yang telah disiasat oleh pihak polis sebelum ini malah suspek yang terlibat dengan kejadian itu juga telah ditangkap dan didakwa di mahkamah.

"Pada 27 Februari tahun lalu, Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Seberang Perai Utara telah menerima laporan berkenaan penderaan ke atas seorang kanak-kanak warga tempatan berusia tiga tahun.

"Tangkapan ke atas suspek iaitu bapa kandung mangsa telah dibuat malah dia didakwa di Mahkamah Butterworth pada 4 April 2023 mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 iaitu pengabaian terhadap kanak-kanak," katanya menerusi kenyataan di sini pada Khamis.

Anuar berkata, pada 25 Julai 2023 tertuduh dijatuhi hukuman denda RM12,000 dan dikenakan bon berkelakuan baik dengan jaminan RM5,000 serta pengawasan selama dua tahun.

Sehubungan itu, beliau menyeru kepada orang ramai agar tidak mensensasikan kes berkaitan sehingga mengganggu kententeraman awam memandangkan kes terbabit telah selesai dan suspek telah dijatuhkan hukuman oleh mahkamah.

Pada Khamis tular satu rakaman video berdurasi enam saat di Facebook dan terdapat kenyataan keratan akhbar berbahasa Cina berkenaan kejadian penderaan terhadap seorang kanak-kanak warga tempatan.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!