PTPTN bantu penuntut UMK realisasi harapan

Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid (empat dari kiri) menyerahkan replika kad sumbangan CSR PTPTN kepada Vivian Koh Lik Ting di Pasir Masir, Kelantan.
Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid (empat dari kiri) menyerahkan replika kad sumbangan CSR PTPTN kepada Vivian Koh Lik Ting di Pasir Masir, Kelantan.
A
A
A

SHAH ALAM - Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) melalui Program Ziarah Kasih telah merealisasikan harapan seorang bakal penuntut dari Pasir Mas, Kelantan untuk melanjutkan pengajiannya ke Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Kota, Kota Bharu.

Pengerusinya, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata, PTPTN telah menyampaikan bantuan kepada Vivian Koh Lik Ting selain memberi motivasi, pendedahan serta kesedaran tentang kepentingan pendidikan dalam mengubah kehidupan diri serta keluarga.

“Sumbangan tersebut adalah satu langkah penting untuk memastikan setiap penuntut mempunyai akses kepada pendidikan tinggi.

“Kami percaya bahawa pendidikan adalah asas kepada pembangunan individu dan masyarakat.

“Dengan bantuan ini, kami berharap dapat mengurangkan beban kewangan mahasiswa dan memberi mereka peluang untuk mencapai impian,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Penyerahan sumbangan itu disempurnakan oleh Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid juga dihadiri oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMK, Profesor Dr Mohammad Ismail dan Pengerusi Yayasan Raja Shamri (YRS), Yang Mulia Raja Shamri Raja Husin.

Hadir sama, Pengurus Besar Kanan Jabatan Komunikasi Korporat dan Pemasarannya, Wan Zawiah Wan Abu Bakar serta Pengarah Negeri Pejabat PTPTN Kelantan, Hamdan Razali.

Artikel Berkaitan:

Vivian Koh Lik Ting dihantar mendaftar di UMK oleh Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid (tiga dari kiri) bersama Pengerusi Yayasan Raja Shamri, Yang Mulis Raja Shamri Raja Husin (empat dari kiri).
Vivian Koh Lik Ting dihantar mendaftar di UMK oleh Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid (tiga dari kiri) bersama Pengerusi Yayasan Raja Shamri, Yang Mulis Raja Shamri Raja Husin (empat dari kiri).

Vivian merupakan anak sulung daripada empat adik beradik yang dibesarkan dalam keluarga serba kekurangan dan berjaya mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) baru-baru ini.

Norliza berkata, PTPTN bersama UMK dan YRS bekerjasama memberi sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) berjumlah RM1,000 berbentuk akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN).

“PTPTN juga menyalurkan bantuan dana myWaqafPTPTN yang merupakan produk wakaf pendidikan tinggi hasil kerjasama strategik antaranya dan Yayasan Waqaf Malaysia (YWM).

“Ini merupakan salah satu inisiatif untuk mempelbagaikan sumber dana PTPTN bagi tujuan pendidikan tinggi selain melalui pinjaman pendidikan sedia ada.

“Antara tujuan utama myWaqafPTPTN adalah sebagai instrumen pengagihan semula kekayaan bagi pembangunan pendidikan negara dalam kalangan mahasiswa yang terdiri dari berbilang bangsa melalui alternatif bantuan pendidikan berbentuk biasiswa iaitu wakaf tunai PTPTN,” jelasnya.

Tambah beliau, YRS juga memberi sumbangan berupa kelengkapan barang keperluan persediaan melanjutkan pengajian ke universiti sekali gus meringankan beban keluarga penuntut.

Menurutnya, rombongan ziarah itu telah mengambil inisiatif untuk menghantar Vivian mendaftar masuk ke UMK dengan menaiki kenderaan yang disediakan YRS dan disambut oleh Dekan Fakulti Hospitaliti Pelancongan dan Kesejahteraan (FHPK) UMK, Profesor Madya Dr Mohd Fadil Mohd Yusof.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan, bantuan kepada Vivian diteruskan lagi dengan Program Pembangunan Siswa Sulung 2.0 di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bertujuan membantu anak pertama daripada keluarga B40 yang berjaya menjadi wakil pertama ke Institusi Pendidikan Tinggi (IPT).

Melalui program berkenaan, penuntut akan diberi bantuan daripada segi kewangan dan berkelayakan menerima pengecualian pembayaran tunai.

“PTPTN menyambut baik kerjasama yang dijalinkan bersama UMK dan YRS bagi menjayakan program pada hari ini.

“Oleh itu, program seumpama ini akan diperluaskan lagi merangkumi lebih ramai mahasiswa yang memerlukan dan turut akan diadakan di Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang dan Politeknik terpilih kelak.

“Saya juga menyeru agar syarikat-syarikat korporat dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) untuk berwakaf melalui myWaqaf PTPTN dalam usaha membantu lebih ramai golongan mahasiswa terutama generasi akan datang sekali gus memastikan kelestarian pendidikan tinggi,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!