Pekebun koko diminta kekal hasilkan tanaman kerana potensi tinggi - Johari

Johari (tiga dari kiri) melihat buah koko yang dipamerkan ketika melawat reruai selepas merasmikan Hari Terbuka Lembaga Koko Malaysia (LKM) Bagan Datuk 2024 di LKM Sungai Sumun hari ini. Foto Bernama
Johari (tiga dari kiri) melihat buah koko yang dipamerkan ketika melawat reruai selepas merasmikan Hari Terbuka Lembaga Koko Malaysia (LKM) Bagan Datuk 2024 di LKM Sungai Sumun hari ini. Foto Bernama
A
A
A

BAGAN DATUK - Pekebun koko diminta untuk terus kekal menghasilkan komoditi berkenaan dan tidak beralih kepada tanaman lain berikutan potensinya yang dilihat tinggi dan memberangsangkan, kata Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Beliau berkata, Malaysia telah mengimport hampir 530,000 tan metrik koko dan nilai import berkenaan mencecah RM7.8 bilion setahun bagi kegunaan dalam negara serta produk yang dihasilkan untuk dieksport semula.

"Kita mahu menggalakkan orang menanam pokok ini (kerana) harga pokok koko pada masa ini sangat tinggi dan pernah mencecah sehingga RM30,000 satu tan berbanding kos iaitu kira-kira RM8,400.

"Hari ini dagangan adalah pada sekitar RM24,000 satu tan. Jadi ini sangat menguntungkan. Kalau lihat daripada kos dan nilai yang kita boleh jual, margin keuntungan adalah hampir 66 peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Hari Terbuka Lembaga Koko Malaysia (LKM) Bagan Datuk 2024 di Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Koko Bagan Datuk di sini hari ini, yang turut dihadiri Ketua Pengarah LKM, Datuk Dr Ramle Kasin.

Pada majlis sama, Johari melancarkan bar coklat berasal dari Bagan Datuk iaitu Coklat Single Origin yang akan berada di pasaran tidak lama lagi.

Menurutnya, Malaysia pernah mengeluarkan hampir 300,000 tan metrik koko.

Bagaimanapun, katanya, pada masa ini negara hanya menghasilkan sekitar 270 tan setahun dan terpaksa mengimport sebanyak 530,000 tan.

Artikel Berkaitan:

"Oleh itu, saya ingin tekankan kepada semua petani yang menanam pokok ini. LKM akan memberi tumpuan kepada mereka dan yang ada kawasan untuk menanam koko, kita juga akan berikan tumpuan.

"Selain itu, LKM telah diarahkan untuk mengenal pasti biji koko berkualiti tinggi untuk dijadikan baka, klon dan benih untuk kita beri kepada pekebun yang berhasrat menanam pokok ini,” katanya.

Beliau berkata, selain meningkatkan pengeluaran koko, pihaknya juga merancang untuk memastikan penghasilan biji koko berkualiti.

"Kita perlu ada banyak kursus di LKM dari segi praktis pertanian bagaimana untuk kita melatih pekebun kecil ini mengikut sistem tanaman yang mengikut standard piawaian yang tinggi,” katanya.

Menurutnya, sebanyak RM10 juta diperuntukkan dalam Belanjawan 2025 bagi melaksanakan mitigasi dan kawalan penyakit baharu komoditi negara seperti koko. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!