'Anak seolah-olah tahu ayahnya akan pergi'
MELAKA - “Malam sebelum kejadian, anak kami kerap terbangun malam setiap satu jam, seolah-olah memberi petanda ayahnya akan pergi meninggalkan kami selama-lamanya."
Demikian kata Nor Atika Abdullah, 26, isteri kepada Allahyarham LBdr, Mohd Izuan Hafiz Mohd Supian, 26, dari pasukan 361 Bti RAD (Para) yang meninggal dunia ketika sesi latihan di Kem Terendak Melaka pada Selasa.
Tambah Nor Atika, Allahyarham pula akan segera bangun menenangkan anaknya itu yang akan berusia tiga bulan 29 Oktober ini, sebelum masing-masing tertidur sehingga waktu pagi.
“Saya tidak menjangkakan arwah akan pergi secepat ini kerana banyak perancangan telah kami buat termasuklah untuk mendiami rumah baharu kami di sini dengan jangkaan mendapat kunci rumah sama ada bulan ini atau bulan depan.
“Arwah juga tidak menunjukkan perubahan sikap yang ketara sebelum saya dimaklumkan dengan pemergian arwah pada hari kejadian, “ katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan, seorang anggota tentera yang baru sahaja menimang cahaya mata sulung meninggal dunia selepas dipercayai mengalami dehidrasi ketika sesi latihan di Kem Terendak Melaka pada Selasa.
Sehari sebelum kejadian, Allahyarham yang belum sampai setahun mendirikan rumah tangga juga sempat memuat naik gambar percutian bersama isteri dan anaknya di Cameron Highlands menerusi media sosialnya.
Nor Atika berkata, Allahyarham juga sempat meluangkan masa dengan membawa mereka sekeluarga ke Pantai Cahaya di Port Dickson pada Ahad lalu.
“Kami ambil gambar dekat pantai, itulah gambar terakhir kami,” katanya yang menyifatkan Allahyarham sebagai suami yang penyayang dan bertanggungjawab.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!