Jaga adab, akhlak ketika kupas isu RUU Mufti Wilayah Persekutuan

Rang Undang-Undang Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2024 dibentangkan bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat Julai lalu, antara lain untuk mengadakan peruntukan bagi perkara yang berhubungan dengan mufti, penentuan perkara mengenai hukum dan doktrin syarak serta perkara yang berkaitan.
Rang Undang-Undang Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2024 dibentangkan bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat Julai lalu, antara lain untuk mengadakan peruntukan bagi perkara yang berhubungan dengan mufti, penentuan perkara mengenai hukum dan doktrin syarak serta perkara yang berkaitan.
A
A
A

ALOR SETAR - Pertubuhan Sukarelawan Rakyat Aman (Suara) meminta tokoh-tokoh masyarakat yang mempunyai pendapat peribadi mengenai pengubalan Rang Undang Undang (RUU) Mufti Wilayah Persekutuan 2024 agar menjaga batasan adab dan akhlak ketika mengupas isu terbabit.

Pengerusinya, Datuk Hadzir Md Zain berkata, kata-kata keras, mencemuh, memperlekeh dan kesat hanya akan menyemarakkan api permusuhan bukan menyelesaikan masalah.

Katanya, setiap tokoh agamawan serta pengikut yang terlibat dalam perdebatan itu seharusnya sentiasa berusaha memperlihatkan keindahan Islam agar kefahaman mengenai Islam terserlah serta mengukuhkan lagi kecintaan terhadap ajaran agama itu.

“Kami amat menyanjungi dan menyokong usaha yang dilakukan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan untuk membuat majlis-majlis libat urus bagi memberikan maklumat dan penjelasan berkaitan RUU ini.

“Kami yakin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mampu menangani isu ini dengan mengutamakan masalah umat Islam semasa,” katanya.

Hadzir menambah, inisiatif pengubalan RUU berkenaan yang dibentang kali pertama pada Julai lalu tidak dibuat secara 'adhoc'.

Katanya, sejak 2021 lagi tindakan untuk mengkaji dan menggubal suatu akta yang khusus untuk mufti telah dimulakan melalui penubuhan satu jawatankuasa

“Penggubalan itu dianggotai wakil daripada Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Jabatan Peguam Negara, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan serta Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Jabatan Mufti Selangor,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, itu bermakna RUU berkenaan telah melalui suatu proses penggubalan yang teliti dan panjang bagi memastikan suatu RUU yang komprehensif digubal, teratur dan selaras dengan Perlembagaan Persekutuan serta undang-undang yang berkuat kuasa.

“Justeru semua pihak perlu berhati-hati dengan sebarang kenyataan yang tidak bersandarkan fakta kerana ia boleh mencetuskan polemik terhadap usaha murni itu,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!