Kekalkan sentuhan manusia dalam grafik rasmi walau ada AI - Syahredzan
KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kerajaan perlu mengekalkan ‘sentuhan manusia’ untuk menghasilkan grafik rasmi dan tidak ghairah dengan imej yang dijana oleh teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam kepesatan perkembangan penggunaan teknologi itu sekarang.
Syahredzan Johan (PH-Bangi) berkata, walaupun penggunaan AI penting tetapi kerajaan masih perlu mengambil kira faktor pertimbangan termasuk perundangan sedia ada, pertimbangan moral serta impak kepada tenaga kerja.
“Sesiapa pun boleh buat imej dengan adanya AI. AI boleh jadi penyampai radio dan pembaca berita. Apakah kesan pada pereka grafik, penyampai radio dan pembaca berita dengan adanya AI ini?
"Kerajaan janganlah ghairah sangat menggunakan imej dijanakan oleh AI ini dalam grafik rasmi. Kerajaan wajar terus memberi peluang kepada artis dan pereka grafik. Masih ada nilai untuk kita angkat sentuhan manusia dalam mereka grafik,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat di sini pada Khamis.
Sebelum ini tular satu poster badan kerajaan yang menggunakan teknologi AI memaparkan Bangunan Berkembar Petronas (KLCC) mempunyai tiga menara dan bukannya dua seperti yang sepatutnya.
Rentetan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad atau lebih dikenali sebagai Altimet menerusi laman X miliknya meluahkan rasa hampa dan meminta badan kerajaan untuk berhenti menggunakan AI dalam rekaan poster rasmi.
Mengulas lanjut, Syahredzan menegaskan perkara tersebut harus diperhalusi dengan segera memandangkan perkembangan AI ketika ini terlalu pantas.
Katanya, dengan kata lain kerajaan harus mengikuti perkembangan pesat AI dan bertindak balas dengan langkah yang sewajarnya.
Syahredzan turut menggesa kerajaan memberi lebih banyak sokongan kepada industri pembangunan permainan digital khususnya memasarkan produk akhir ke luar negara.
“Kita sudah melihat beberapa ‘game’ dibangunkan di Malaysia seperti Gigabash, No Straight Roads dan banyak lagi. Satu lagi ‘game’ yang dibangunkan Todak Studios ialah Mastra.
“Saya difahamkan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) juga ada memberi dana kepada beberapa pembangun permainan digital tempatan untuk membangunkan permainan ini. Ini perkara yang baik.
“Namun jika kita benar-benar mahu melihat ‘game’ yang bertaraf dunia datang dari Malaysia, sokongan kerajaan tidak harus terhad kepada memberi dana sahaja,” sarannya.
Syahredzan memberitahu, kerajaan juga harus memberi sokongan untuk memasarkan ‘game’ yang siap dibina memandangkan menyiapkan permainan digital berkenaan bukanlah matlamat akhir yang dicari sebaliknya ia mesti dipasarkan dan mendapat sambutan.
Justeru, ujarnya, dari situlah kerajaan boleh memainkan peranan untuk menjadikan ‘game’ yang dibangunkan dalam negara sebagai ‘showcase’ kebolehan pembangun permainan digital tempatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!