Dron: Faedah atau padah?
PEMBUNUHAN Jeneral Tentera Iran, Qassem Soleimani melalui tembakan dari udara menggunakan teknik dron telah menggemparkan dunia.
Penggunaan dron dalam pensenjataan itu membuka mata masyarakat dunia untuk memikirkan kembali berkaitan taktik dan teknik keselamatan dan kedaulatan.
Sebenarnya penggunaan dron atau Kenderaan Udara Tanpa Kawalan (UAV) dalam aplikasi komersial berpotensi untuk mengubah beberapa industri. Contohnya, penggunaan dron untuk tujuan penggambaran dari udara atau perfileman telah lama diketahui umum.
Namun jika ia digunakan untuk tujuan dan niat menyerang, membunuh atau tujuan perang, ia telah mengancam keselamatan negara. Maka kemunculan dron bertentangan dengan pengertian tradisional mengenai keselamatan, pertahanan, privasi, pemilikan, liabiliti dan peraturan.
Bagaimanapun, penggunaan teknologi dron dibebani dengan persepsi sebagai peralatan pengawasan dan penggunaan komersial dikritik oleh individu dan aktivis.
Dron disahkan oleh peraturan dan lesen daripada agensi-agensi persekutuan di Amerika Syarikat dan banyak negara lain. Dron juga digunakan untuk kerja mengukur, mencerap, memeriksa dan pencitraan atau imej serta pembangunan teknologi.
Sejauh mana kesan penggunaan dron dari segi keselamatan? Isu pencerobohan ruang privasi dan keselamatan mestilah menjadi agenda utama dalam memahami bagaimana dron mempengaruhi masyarakat.
Di Malaysia, kerajaan sedang giat menggubal undang-undang khusus bagi memenuhi ekosistem baharu negara seiring perkembangan sektor aeroangkasa, dron dan UAV.
Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi satu entri di Facebook telah mengeluarkan larangan menggunakan dron di empat kawasan iaitu, ruang udara Istana Negara, Putrajaya, kawasan Parlimen dan KLCC.
Tindakan menerbangkan dron juga boleh mengancam keselamatan awam, membahayakan operasi penerbangan dan keselamatan.
Ia juga melanggar privasi orang ramai melalui pencerobohan ruang udara. Jabatan Penerbangan Awam Malaysia (DCA) mengeluarkan amaran melarang tindakan menerbangkan dron di kawasan lapangan terbang kerana ia merupakan kesalahan mengikut Akta Penerbangan Awam 1969.
Sekiranya seseorang individu, organisasi atau syarikat ingin menerbangkan dron di kawasan berkenaan, permohonan rasmi perlulah dibuat kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) terlebih dahulu dan perlu mendapat kelulusan daripada DCA.
Untuk rekod, foto dari udara dipercayai dirakam melalui penggunaan dron memaparkan dua pesawat menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) di Sepang untuk mendarat, menjadi viral suatu ketika dahulu.
Ia dimuat naik di laman media sosial sehingga menimbulkan kebimbangan orang ramai dan kemarahan warga Internet yang berpandangan bahawa penggunaan dron di KLIA itu membahayakan dan boleh mengakibatkan nahas udara.
Salah guna
Kita khuatir ia boleh membawa kamera atau barang yang tidak diingini dan terbang di tempat larangan, tempat-tempat sulit seperti kawasan rumah pemimpin negara, penjara atau di sekitar kawasan fasiliti kerajaan yang akhirnya boleh menggugat keselamatan orang awam
Malah, penyalahgunaan dron juga mampu menjurus kepada berlakunya situasi pencerobohan terhadap hak privasi apabila pengguna merakam video atau gambar tanpa kebenaran.
DCA mewajibkan setiap dron yang ingin terbang untuk memohon kebenaran supaya penerbangan dron itu dapat dipantau dari segi jarak dan ketinggian agar tidak membahayakan ruang udara.
Bagaimanapun, tidak dinafikan terdapat banyak kebaikan yang diperoleh daripada penggunaan pesawat kawalan jauh terutamanya ketika banjir.
Pengguna dron untuk tujuan komersial didapati sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan DCA berbanding pihak yang menggunakan dron sebagai hobi yang ternyata kurang jelas mengenai peraturan penggunaan UAV ini.
Fenomena penyalahgunaan dron yang juga boleh menjadi ancaman dan padah kepada negara perlu diambil kira dalam membuat dasar dan keputusan berkaitan dengan keselamatan dan pertahanan negara.
* Profesor Datuk Dr Ismail Sualman ialah Pengarah Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi di Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM)
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!