65 PATI kena kutip di Kelantan

PATI yang ditahan melalui Ops Sapu/Kutip yang bermula Rabu.
PATI yang ditahan melalui Ops Sapu/Kutip yang bermula Rabu.
A
A
A

KOTA BHARU - Warga Bangladesh paling ramai ditahan melalui Ops Sapu/Kutip yang dilaksanakan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kelantan di sekitar bandar Kota Bharu dan Tanah Merah.

Timbalan Pengarah Imigresen negeri (Pengurusan), Nik Akhtarulhaq Nik Abdul Rahman berkata, seramai 41 warga Bangladesh dikesan daripada 65 PATI yang ditahan.

Beliau memberitahu, operasi bermula jam 2 petang itu turut menahan 10 warga Pakistan, lapan warga Thailand dan enam warga Indonesia.

"Operasi selama dua hari bermula Rabu itu membabitkan persimpangan lampu isyarat Wisma Persekutuan Jalan Bayam, persimpangan lampu isyarat Tendong dan sebuah premis di Kampung Jelatok, Tanah Merah.

"Lokasi lain yang turut diperiksa ialah sebuah premis di Kampung Pintu Geng, serta beberapa buah kedai runcit sekitar Kampung Cherang, Kampung Badang dan Kampung Paya Bemban, Kota Bharu," katanya melalui kenyataan pada Khamis.

"Sepanjang operasi ini, seramai 69 warga asing diperiksa membabitkan 13 premis," katanya.

Jelas beliau, kesemua PATI yang berusia antara 16 hingga 42 tahun itu sudah dihantar ke Depot Imigresen Tanah Merah untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39 (b) Peraturan-peraturan Imigresen1963.

Dalam pada itu, Nik Akhtarulhaq turut menasihatkan majikan supaya menggaji warga asing yang mempunyai pas yang sah.

Artikel Berkaitan:

"Orang ramai perlu tampil memaklumkan sebarang aktiviti warga asing yang menyalahi undang-undang. Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mereka yang mendalangi, memudahcara dan bersubahat melindungi PATI," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!