Ayub tuntut penjelasan segera isu Hutan Sungai Lembing
KUANTAN - Selepas hampir 20 hari, kerajaan negeri Pahang masih gagal memberikan penjelasan lanjut berkenaan kawasan Hutan Sungai Lembing yang dibersihkan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Lembing, Muhammad Ayub Mat Ashri berkata, ini bukan masanya kerajaan negeri mengambil sikap berdiam diri dan acuh tidak acuh dalam isu berkaitan alam sekitar, sebaliknya penjelasan harus diberikan segera.
"Saya kembalikan persoalan yang telah ditimbulkan selepas maklum balas pihak berkaitan dalam isu ini seperti dilaporkan sebuah akhbar baru-baru ini untuk dijelaskan segera kerajaan negeri termasuk status tanah tersebut.
"Adakah ia telah diwartakan sebagai tanah pertanian dan bilakah ia diwartakan?
"Kepada kontraktor atau pemaju manakah ia dianugerahkan dan apakah prosesnya telah melalui prosedur kewangan yang sepatutnya?" soalnya melalui hantaran di Facebook pada Khamis.
Melalui hantaran itu, Ayub turut mempersoalkan tentang keluasan kawasan yang terlibat bagi tujuan penanaman kelapa tersebut.
"Adakah tanah tersebut dijual, dipajak atau bagaimana dan jika dijual, berapakah nilainya, adakah di bawah harga pasaran atau atas harga pasaran?
"Jika dipajak, berapa tahunkah tempoh pajakan, dan apa hasil yang kerajaan bakal perolehi?" soalnya.
Turut ditanya tempoh perolehan hasil bagi kerajaan negeri jika ada dan penilaian terhadap jenis kayu serta nilainya kerana mustahil tiada pengeluaran kayu dibuat terhadap kawasan seluas itu.
"Apakah ada dibuat Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) sebelum projek dimulakan atau dianugerahkan?
"Jika ada, mohon dikeluarkan untuk tatapan awam segera," ujarnya.
Sebelum ini, Mohamad Ayub memohon penjelasan daripada kerajaan negeri dan agensi berkaitan berhubung dakwaan terdapat penghapusan hutan di Sungai Lembing.
Isu itu telah mendapat maklum balas Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang memaklumkan perkara tersebut telah diberi perhatian serius dan ia dalam tindakan pihak berkenaan.
Sementara itu, pihak Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) menjelaskan tiada aktiviti penghapusan, penyahwartaan kawasan hutan simpanan kekal (HSK) berlaku di Sungai Lembing di sini sebaliknya terdapat kerja pembangunan tanah bagi tujuan penanaman kelapa di atas tanah kerajaan seperti dilaporkan sebuah akhbar.
Jelas JPNP, kawasan dimaksudkan di luar HSK di Sungai Lembing dan kerja pembangunan tanah di situ dikawal selia di bawah Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Kuantan.
Tegasnya, tiada sebarang permohonan dan kelulusan membalak bagi tujuan mengambil hasil hutan dan tiada sebarang kerja-kerja berkaitan pengumpulan kayu dan cubaan mengeluarkan kayu dilakukan pemaju.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!