20,000 pembeli rumah pertama bakal terima manfaat SJKP - Kor Ming

Kor Ming berucap semasa sesi libat urus bersama media sempena pembentangan Belanjawan 2025 di Hotel Pavilion Kuala Lumpur hari ini. Foto Bernama
Kor Ming berucap semasa sesi libat urus bersama media sempena pembentangan Belanjawan 2025 di Hotel Pavilion Kuala Lumpur hari ini. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 20,000 bakal pembeli rumah pertama menerima manfaat daripada Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP), kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.

Beliau berkata, peruntukan RM10 bilion untuk SJKP yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat Jumaat lepas, bertujuan memastikan setiap rakyat Malaysia memiliki rumah.

"Inisiatif ini akan membantu golongan pekerja gig atau siswazah. Mereka kebanyakannya tidak dapat pinjaman perumahan tetapi dengan SJKP, ditambah dengan RM10 bilion, maka mereka boleh dapat pinjaman beli rumah dan dijamin oleh Kerajaan Madani,” katanya ketika sesi libat urus bersama media sempena pembentangan Belanjawan 2025 di sini hari ini.

Kor Ming berkata, setakat ini Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah berjaya membantu 53,000 pembeli rumah pertama.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan juga memberikan pelepasan cukai bagi bayaran faedah pinjaman perumahan sehingga RM7,000 kepada pembeli rumah pertama bagi harga kediaman di bawah RM500,000 selama tiga tahun, bermula 1 Januari 2026 hingga 31 Disember 2027.

"Pelepasan cukai sehingga RM5,000 pula akan diberikan bagi kediaman yang berharga melebihi RM500,000 hingga RM750,000,” katanya yang menyifatkan inisiatif itu sebagai manifestasi komitmen kerajaan untuk menggalakkan pemilikan rumah selaras dengan aspirasi ‘shelter for all’.

SJKP dan pelepasan cukai bayaran faedah pinjaman perumahan merupakan antara 11 fokus utama KPKT dalam pembangunan Belanjawan 2025.

Nga berkata menerusi Belanjawan 2025, KPKT memperoleh peruntukan keseluruhan RM5.934 bilion, meningkat sebanyak 5.08 peratus berbanding tahun ini, dengan 66 peratus adalah belanjawan pembangunan iaitu RM3.962 bilion manakala RM1.971 bilion atau 34 peratus belanja mengurus.

Artikel Berkaitan:

Kor Ming yang juga Ahli Parlimen Teluk Intan berkata, KPKT melalui Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) akan membina lebih 5,400 projek Rumah Mesra Rakyat (RMR) tahun depan, yang dijual pada harga RM70,000 seunit, namun diberikan subsidi sebanyak RM20,000.

Selain itu, pihaknya juga akan membina rumah Program Residensi Rakyat (PRR) di Kampung Linggi, Port Dickson, Negeri Sembilan dan Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang.

Pada sesi itu, Kor Ming berkata, KPKT akan melaksanakan polisi baharu mengantikan lampu, siling dan lantai di bawah peruntukan RM185 juta bagi penyelenggaraan rumah strata kos rendah dan sederhana serta RM88.1 juta untuk penggantian lif usang.

"Di bawah dasar lama, kerajaan hanya bantu tukar lif, tetapi kali ini kita bukan sahaja memberi lif baharu tetapi juga membekalkan lampu, siling dan lantai yang baharu,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!